Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini mengesahkan Parti Maju Sabah (SAPP) menyertai Perikatan Nasional (PN).

Keputusan itu dibuat selepas Majlis Tertinggi PN bersetuju menerima SAPP sebagai anggota mereka.

Surat penerimaan parti tempatan Sabah itu dalam PN diserahkan Muhyiddin dalam satu majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Pimpinan Masyarakat Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) malan ini.

Surat penerimaan itu juga diserahkan Muhyiddin kepada Presiden SAPP, Datuk Seri Yong Teck Lee

"Saya terlebih dahulu menngucapkan setinggi-tinggi terima kasih di atas minat SAPP untuk memohon menjadi anggota PN.

"Sehubungan itu, sukacita dimaklumkan bahawa Majlis Tertinggi PN yang bermesyuarat pada 19 Ogos lalu sebulat suara bersetuju menerima SAPP sebagai anggota PN," katanya menerusi surat penerimaan itu.

Muhyiddin berharap keanggotaan SAPP dalam PN akan menjadi pemangkin kepada kejayaan dalam melaksanakan segala tujuan dan matlamat parti untuk membela kebajikan rakyat.

Dengan penyertaan itu, PN kini mengukuhkan kedudukannya di Sabah selepas disertai Bersatu, Parti Solidariti Tanah Air (STAR) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Teck Lee pernah mengemudi Sabah sebagai Ketua Menteri selama dua tahun iaitu dari 1996 hingga 1998.