Lebih ramai pemimpin muda perlu diketengahkan sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang bagi membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan landskap politik negeri yang semakin mencabar.

Ketua Bahagian Bersatu Tawau, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan yang juga mantan penyandang kerusi DUN Apas berkata, justeru itu Bersatu bahagian Tawau akan mempelbagaikan program menarik yang boleh melibatkan dan menarik anak muda untuk menyertainya agar dapat mencapai sasaran keahlian 10,000 ahli muda Bersatu menjelang hujung tahun 2020.

"Kita akan mempelbagaikan program untuk menarik anak muda untuk menyertai kita kerana mereka ini adalah jentera yang akan bergerak pada masa hadapan kerana mereka lah pewaris kepimpinan yang perlu memastikan negara terus kukuh dan berdaulat katanya," katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Armada Tawau yang dihadiri 126 perwakilan untuk mengundi jawatan di peringkat Pusat yang berlangsung di seluruh negara hari ini.

Katanya lagi, ketika ini terdapat 60 peratus pengundi muda daripada lebih 6,000 pengundi yang berdaftar khasnya di kawasan Parlimen Tawau yang melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung, DUN Apas dan DUN Balung.

"Pada masa ini kita sudah mencecah lebih kurang 6,000 keahlian di bahagian Parlimen Tawau kerana penduduk di sekitar daerah ini meyakini perjuangan kepimpinan Bersatu dibawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin," katanya lagi.