Saifuddin Abdullah dipanggil Lembaga Disiplin Bersatu Khamis ini

Saifuddin menjelaskan, beliau akan bertemu Lembaga Disiplin pada jam 2 petang Khamis ini, 6 November 2025. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dipanggil Lembaga Disiplin Bersatu untuk siasatan berhubung dakwaan terlibat dalam gerakan menjatuhkan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Saifuddin menjelaskan, beliau akan bertemu Lembaga Disiplin pada jam 2 petang Khamis ini, 6 November 2025.
Proses siasatan bersama Lembaga Disiplin itu akan diadakan di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya.
"Pada kira-kira jam 1.52 petang Ahad, saya telah menerima notis untuk saya menghadiri sesi perjumpaan Bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) Lembaga Disiplin pada 6 November jam 4.30 petang di Petaling Jaya.
"Oleh kerana pada tarikh itu, di sebelah malamnya saya ada program di luar Kuala Lumpur, saya minta sesi itu diawalkan dan Lembaga Disiplin bersetuju ditukar ke 2 petang," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.
Saifuddin dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli masing-masing digugurkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang dan Perlis pada 27 Oktober 2025.
Pada Khamis lalu, tiga Ketua Bahagian Bersatu dipanggil Lembaga Disiplin untuk siasatan berhubung dakwaan terlibat dalam gerakan menjatuhkan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional.
Ketua Bersatu Bahagian Ipoh Timur, Mohd Fadhli Ismail yang mengesahkan perkara itu menyatakan mereka terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis; Ketua Bahagian Sepang, Datuk Mohd Suhaimi Ghazali; serta Ketua Bahagian Puchong, Mohd Shukor Mustafa.
Pada pertengahan Oktober, Lembaga Disiplin Bersatu memecat Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan menggantung keahlian Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


