KUANTAN: Pengerusi Badan Pimpinan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menyatakan pendiriannya untuk terus kekal bersama Bersatu walaupun ramai dalam kalangan rakannya bertindak menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Saifuddin juga melahirkan rasa dukacita dengan tindakan mereka dan menaruh harapan agar mereka akan kekal bersama Bersatu.

"Saya tidak pastilah, sama ada ramai atau tidak ramai yang menyertai PBM namun saya dukacita kerana mereka ini kawan-kawan saya juga, ramai  adalah kenalan dan memang kita mengharapkan supaya semuanya menyertai Bersatu, dan apa lagi kerana Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu sangat accommodative kepada teman-teman yang meninggalkan PKR," katanya.

Saifuddin berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung Koperasi Reflisia Timur Berhad di dewan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Cenderawasih Timur Kuantan pada Sabtu.

Mengulas lanjut isu itu, Saifuddin meminta rakannya agar mengingati budi yang diberikan Muhyiddin sebelum ini namun tidak dapat menghalang niat dan hasrat mereka untuk menyertai atau menubuhkan parti baharu dan menganggap mereka mempunyai hak masing-masing.

“Jadi, pada saya budi baik Tan Sri Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu dan juga layanan yang diberikan oleh pimpinan Bersatu kepada kami yang keluar dari PKR kemudiannya menyertai Bersatu itu sangat sangat dihargai jadi pada saya saya agak terkilan kerana sepatutnya kita sama-sama membalas budi baik Tan Sri Muhyiddin dengan memperkuatkan lagi parti Bersatu," katanya lagi.

Beliau mengulas laporan media yang mendakwa dua Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Zuraida Kamaruddin Zuraida dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, antara yang disebut-sebut bakal menyertai PBM.