KUALA LUMPUR: Kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menyenaraikan 10 menteri yang disifatkannya telah gagal menjalankan tugas adalah lambang kepada kebimbangannya terhadap pencapaian yang dilakukan oleh kerajaan ketika ini.

Jelas Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Guan Eng dialu-alukan untuk mengulangi kenyataannya itu yang dilihat sebagai tanda beliau dan anggota Kabinet yang lain sentiasa mendapat perhatian bekas Menteri Kewangan itu.

"Dalam politik, bila orang mengeluarkan kenyataan begitu maknanya dia bimbang (tentang) apa yang dah kita lakukan. Orang yang tak endah kat kita maknanya kita tak buat kerja.

"Dan saya nak bagi tahu kat Guan Eng cakaplah lebih-lebih kerana saya tahu sampai kiamat pun dia tak akan kata bahawa saya menteri yang berjaya," ktaanya kepada media selepas mengadakan lawatan dan menyempurnakan Program Inisiatif Kesihatan Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di sini hari ini.

Politik | Hishamuddin alu-alukan kenyataan Guan Eng


Beberapa hari lalu Guan Eng meletakkan Hishammuddin dalam senarai pertama dalam senarai 10 menteri Kabinet pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang gagal menjalankan tugas.

Ini kerana jelas Guan Eng, Hishammuddin menyelia pembelian kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion.

Selain Hishammuddin, Guan Eng turut mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Ahmad, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Takiyuddin Hassan dan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai tidak cekap.

Dalam ketiga-tiga pemimpin itu, Guan Eng menganggap Idris yang merupakan Naib Presiden Pas sebagai menteri paling teruk.