KOTA KINABALU: Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Keningau, Datuk Sangkar Rasam dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah yang baharu manakala Datuk Christina Liew dikekalkan sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah.

Pelantikan itu diumumkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi lawatan singkat beliau ke Kota Kinabalu pada Sabtu.

Setiausaha PH Sabah, Mustapha Sakmud berkata, pelantikan itu dibuat secara sebulat suara selepas sesi konsultansi oleh presiden dengan semua ketua-ketua cabang yang hadir.

"Pelbagai cadangan diutarakan termasuk mengekalkan Datuk Christina Liew sebagai Pengerusi PH Sabah.

"Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi PH Pusat dengan itu memberi jaminan dan mengumumkan bahawa Datuk Christina Liew akan kekal sebagai Pengerusi PH Sabah," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tambah beliau lagi, presiden turut menekankan bahawa Pengerusi PH perlu dikekalkan kerana tidak mahu proses rundingan kerusi dan pemantapan jentera PH terjejas menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Semoga gandingan mantap Datuk Christina selaku Pengerusi PH Sabah, Awang Husaini Sahari sebagai Naib Presiden Pusat dan Datuk Sangkar sebagai Pengerusi MPN Sabah dapat memantapkan jentera PH Sabah bersama parti-parti komponen DAP, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Amanah," katanya sambil mengucapkan tahniah terhadap pelantikan baharu itu.

Christina yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat dan Ketua Cabang PKR Kota Kinabalu sebelum ini menyandang jawatan sebagai Pengerusi MPN Sabah sejak 2016. - Sinar Harian