KUALA LUMPUR: Datuk Seri Idris Haron menegaskan tindakannya menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Melaka adalah untuk menyelamatkan UMNO daripada ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Kata ADUN Sungai Udang itu, beliau tidak boleh lagi menyokong kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) bersama Perikatan Nasional (PN) itu yang dilihatnya penuh dengan kemungkaran maka beliau perlu bertindak.

“Kalau UMNO ini terus mempunyai pemimpin-pemimpin seperti yang ada pada hari ini, rakusnya diibaratkan makan itu tangan kanan dan kiri disuapkan ke mulut sambil mata menjeling lagi ke makanan lain di atas meja, yakni projek-projek ekonomi di negeri Melaka ini.

“Ribuan meter kubik pasir yang ditambak daripada tengah laut dibawa ke sini tapi diisytihar dengan jumlah yang rendah, menipu kerajaan Persekutuan dalam bentuk royalti, semuanya berlaku dengan jelas.

“Ini semua penipuan yang akan menyebabkan UMNO ditolak mentah-mentah dalam PRU akan datang, saya percaya dan yakin rakyat menyedari hakikat ini," ujarnya.

Atas tindakannya itu, Idris dipecat keahliannya daripada UMNO malah ada yang melihatnya sebagai pembelot parti.

Kata Idris, nasib beliau ‘tidak sebaik’ beberapa pemimpin UMNO lain yang masih berada dalam parti walaupun jelas menyuarakan dan bertindak menentang kepimpinan tertinggi.

Begitupun, beliau sedia memberikan penjelasan atas tindakannya menolak kepimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali selaku Ketua Menteri Melaka.

“Saya tak pasti undang-undang mana yang dikenakan kepada saya, tapi yang saya pasti adalah kalau saya dipanggil oleh badan disiplin saya sedia memberikan penjelasan mengapa saya melakukan demikian.

“Saya berbuat demikian kerana saya nak menyelamatkan parti ini daripada ditolak oleh rakyat dalam PRU akan datang.”

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara Agenda AWANI dihoskan oleh Essan Yahya pada Selasa. Tonton di sini:


Agenda AWANI: Tarik sokongan, DUN Melaka bubar