KUALA NERUS: Tiada bukti lebih dua juta ahli UMNO telah meninggalkan parti itu seperti didakwa Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa, kata Datuk Seri Mohamad Hasan.

Dalam masa sama, Timbalan Presiden UMNO itu menegaskan, terpulang kepada bekas Setiausaha Agung UMNO itu untuk membuat kenyataan, namun, biarlah munasabah.

Kata Mohamad, beliau tidak mengetahui bagaimana bekas Ahli Parlimen Ketereh itu mendapat angka berkenaan.

"Saya tidak tahu daripada mana beliau dapat angka tersebut, kalau beliau boleh bagi setiap orang punya nombor kad pengenalan orang nak keluar bolehlah kita mempercayainya.

"Tetapi kalau setakat mendakwa saya boleh pula mengatakan saya dapat dua juta orang masuk jadi ahli UMNO. Apa buktinya?" soal beliau lagi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Annuar yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh, bahawa UMNO tidak lagi menjadi pilihan sebahagian besar rakyat di negara ini.

Mohamad, bagaimanapun, tidak menafikan, terdapat sejumlah kecil ahli UMNO yang keluar parti berkenaan, namun, jumlah tersebut tidak sebesar dakwaan yang dibuat Annuar.