SHAH ALAM: “Saya bukan nak lawan Melayu tetapi saya mahu pastikan generasi yang baharu pada hari ini berjaya, berdikari dan boleh tawan dunia,” kata Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menurut Syed Saddiq, generasi Melayu baharu akan membuktikan kepada semua bahawa kaum itu boleh berjaya tanpa mengetepikan bangsa lain.

Beritahu Ahli Parlimen Muar itu, beliau merupakan generasi Wawasan 2020 yang dibesarkan dengan fahaman berkenaan.

“Saya masih ingat masa kecil, di bangku sekolah, dididik untuk lukis dan hafal sembilan cabaran Wawasan 2020 yang digariskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ini adalah ilham Tun (Dr Mahathir) sendiri dan cabaran pertama wawasan itu adalah untuk membina bangsa Malaysia yang bersatu padu,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook pada Rabu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Dr Mahathir membidas idea negara kepelbagaian kaum yang dibawa Syed Saddiq.

Ujar Dr Mahathir, ia secara tidak langsung akan memberi kesan negatif terhadap identiti bangsa Melayu.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq menjelaskan bahawa realitinya kehidupan masyarakat yang harmoni boleh dicapai walaupun mempunyai kepelbagaian bangsa, agama dan budaya.

- Sinar Harian