Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini menggesa seseorang dalam bekas parti yang disertainya itu untuk memuhasabah diri.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu menjelaskan, disebabkan oleh dua individu, rakyat telah diheret ke kancah politik sejak tahun 1998 dan isu sama masih gagal diselesaikan hingga ke hari ini.

Tanpa menamakan mana-mana individu, Azmin berkata, pertikaian politik berkenaan calon Perdana Menteri mencetuskan rasa muak dalam kalangan anggota parti sekali gus memaksa keluar dari parti itu.

"Keadilan (PKR) harus mengambil tanggungjawab ini. Ini membuktikan bahawa seseorang dalam Keadilan harus melakukan muhasabah.

"Anggota (PKR) sudah muak dengan politik yang melampau dalam Keadilan sehingga rakyat menjadi mangsa. Cukup-cukuplah, sehingga hari ini tak selesai lagi nak pilih siapa calon Perdana Menteri.

"Kalau itu tak boleh diselesaikan, dari tahun 1998 rakyat diheret dalam kancah politik kerana dua individu ini. Kalau tidak A, B. Kalau tidak B, A.

"Sampai bila kita nak selesaikan masalah negara. Sekurang-kurangnya, sejak tiga bulan lalu, orang dah tak tanya siapa Perdana Menteri selepas ini, aman tiga bulan. Tapi kalau Pakatan Harapan masuk balik, itulah perbincangan setiap hari," katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Beliau sebelum itu menyempurkan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MITI di sini hari ini.

Mohamed Azmin pada masa sama berkata, tidak timbul isu untuk beliau menubuhkan parti baharu ekoran fokus Perikatan Nasional ketika ini adalah untuk memberi khidmat kepada rakyat.

"Bagi saya, tumpuan kita hari ini adalah untuk terus berikan khidmat kepada rakyat kerana pasca pandemik ini, keadaan ekonomi global lebih mencabar.

"Namun, sekali lagi kita telah ambil langkah lebih proaktif dengan memperkenalkan pelan pemulihan ekonomi, PRIHATIN dan PENJANA... ini semua adalah untuk pastikan keresahan dan kepayahan rakyat dapat ditangani.

"Tidak timbul soal membuka parti politik baharu pada ketika ini kerana tumpuan kita adalah memberi khidmat kepada rakyat," tegasnya.

Sebelum ini wujud khabar angin yang menyatakan bahawa sekumpulan individu yang diketuai beliau akan menumbuhkan parti baharu pro Perikatan Nasional.