KUALA LUMPUR: UMNO Selangor mahu mengukuhkan Muafakat Nasional (MN) bersama Pas di negeri itu, dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Tan Sri Noh Omar berkata kedua-dua parti itu perlu bekerjasama dan tidak bertembung sesama sendiri ketika PRU15, bagi merampas Selangor daripada Pakatan Harapan (PH).

"Jangan bertembung...kalau ini berlaku saya bimbang orang lain akan menang di Selangor, kerana pecahan pengundi Melayu dan bukan Melayu di negeri ini hampir sama. Elakkan bertanding tiga penjuru.

"Salah satu sebab (UMNO) banyak menghadapi kekalahan yang tidak disangka (PRU14 lalu) adalah kerana faktor itu. Pengundi Melayu khususnya berpecah pada tiga," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Wanita UMNO Bahagian Tanjong Karang di sini hari ini.

Noh berkata beliau pernah menyatakan mengenai perkara berkenaan kepada Presiden Pa Tan Sri Abdul Hadi Awang pada awal tahun ini.

Di NEGERI SEMBILAN, nada sama disuarakan Ketua UMNO Bahagian Jelebu Datuk Seri Jalaluddin Alias yang mahu MN diperkukuhkan bagi menghadapi PRU15, kerana kejayaan hasil gabungan UMNO dan PAS telah terbukti dengan tujuh kemenangan pada Pilihan Raya Kecil sebelum ini.

"MN perlu diperkukuhkan bagi menghadapi PRU15...kecuali ada beberapa kawasan yang tidak ada titik pertemuan antara UMNO dan Pas, itu perlu diserahkan kepada kepimpinan bagi mencapai muafakat," katanya selepas merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Jelebu dan mesyuarat ketiga-tiga sayap parti itu di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO turut mencadangkan pemilihan parti bagi penggal 2021-2023 diadakan lebih awal, bagi mempersiapkan parti menghadapi PRU15.

Di JOHOR, Pemuda UMNO Bahagian Tebrau pula mencadangkan supaya jawatan Ketua Pemuda UMNO Pusat disandang individu berusia bawah 40 tahun, susulan pendaftaran secara automatik pemilih berusia 18 tahun ke atas telah diwartakan dan akan berkuat kuasa pada 15 Dis ini.

Ketua Pemudanya Fauzi Faizal berkata usul itu dilihat penting, bagi penjenamaan semula serta 'meremajakan' parti itu sekali gus menarik minat golongan muda untuk memilih UMNO pada PRU15 akan datang.

Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian berlangsung selama dua hari bermula hari ini sebelum disusuli Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada 18 Dis ini.

Perhimpunan Agung UMNO 2021 pula dijadual diadakan selama tiga hari bermula 13 Jan tahun hadapan.

-- BERNAMA