SHAH ALAM: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor merealisasikan tiga daripada lima 'Tawaran Kita Selangor' dalam tempoh 100 hari selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada 12 Ogos lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tiga daripada komitmen itu ialah pengecualian cukai taksiran rumah kos rendah, insentif pertanian Kita Selangor dan insentif khas pegawai masjid.

Menurut beliau, kerajaan negeri akan mengecualikan cukai taksiran bagi 426,656 rumah kos rendah dan rumah kampung di negeri ini untuk tempoh penggal kedua iaitu dari 1 Julai lalu sehingga 31 Disember depan dengan implikasi kewangan sebanyak RM29,415,672.50 kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Bantuan secara bersasar ini diharapkan meningkatkan pendapatan boleh guna bagi golongan yang memerlukan serta mengurangkan kos sara hidup," katanya dalam sidang media khas di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, di sini pada Rabu.

Amirudin berkata, kerajaan negeri akan memberikan RM1,000 kepada 500 pengusaha dalam bidang tanaman, ternakan, akuakultur, industri asas tani serta nelayan sebagai langkah membantu komuniti petani dan pesawah serta memberi insentif supaya kadar pengeluaran pertanian dapat ditingkatkan

Beliau memberitahu, pemberian itu akan dibuat dalam bentuk tunai sebanyak RM500, manakala baki RM500 akan diberikan menerusi input tanaman, peralatan dan bahan mentah dan akan mula diserahkan pada 31 Oktober ini melalui kerjasama pihak Agro Bank Selangor serta Koperasi Kohijrah Warga Hijrah Selangor Berhad.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga mengambil pendirian untuk meningkatkan insentif khas pegawai masjid sebagai tanda penghargaan melalui gaji progresif.

"Menginsafi kepentingan masjid bagi masyarakat negeri Selangor bukan sekadar sebagai tempat ibadat tetapi sebagai pusat pengupayaan ilmu.

"Bermula 25 Oktober ini, seramai 760 imam akan menerima bayaran bulanan yang ditingkatkan dari RM1,300 kepada RM1,500 sebulan yang akan diselaraskan oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)," jelas beliau.

Ujar Amirudin, tambahan daripada itu, elaun bagi 1,900 nazir, bilal, dan siak akan ditingkatkan sebanyak RM50 sebulan kepada RM300 untuk nazir, RM340 bagi bilal serta RM290 untuk siak.

"Secara keseluruhan, pemberian insentif ini merupakan penambahan sebanyak RM2.964 juta dan akan diperuntukkan secara tahunan sebagai ikhtiar kerajaan negeri dalam menggerakkan syiar Islam di Selangor," kata beliau.

Amirudin berkata, dua lagi inisiatif yang dijanjikan kerajaan negeri iaitu baucar buku Kita Selangor dan bantuan wanita bekerja sedang diselaraskan.

"Kita sedang kenal pasti tarikh sesuai untuk memulakan program ini yang dijangka pada November nanti," tambahnya.

Sinar Harian pada 11 Ogos lalu melaporkan, kerajaan Selangor optimis melaksanakan lima 'Tawaran Kita Selangor' dalam tempoh 100 hari pentadbirannya sekiranya kekal memerintah dan memenangi PRN negeri. - Sinar Harian