KUALA LUMPUR: Selepas Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) diarahkan keluar sidang Dewan Rakyat, Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) dan RSN Rayer (PH-Jelutong) pula diarahkan keluar.

Keputusan itu dibuat Timbalan Speaker, Alice Lau Kiong selepas kedua-dua Ahli Parlimen itu enggan menarik balik perkataan kurang sesuai digunakan dalam Dewan Rakyat.

Alice Lau: Jelutong, sila duduk.

Shahidan: Nampak, dia (Rayer) macam-macam dia sebut. Biadab dia kata pada saya, dia kata macam-macam.

Alice Lau: Cukuplah Arau. Jangan bazir masa lagi. Kalau tak mahu tarik balik pun, keluar sekejaplah. Rehat sekejap.

Rayer: Speaker, saya minta dia (Shahidan) tarik balik perkataan penyamun.

Shahidan: Kenapa biadab tak keluar?

Alice Lau: Jangan bazir masa lagi, Arau dan Jelutong boleh pergi rehat sekejap. Saya teruskan ya…Saya jemput Yang Berhormat Bagan (Lim Guan Eng).

Selepas keputusan itu dibuat, Alice Lau beredar dan digantikan seorang lagi Timbalan Speaker, Datuk Ramli Md Nor.

Tanpa berlengah, Ramli terus menegur semua Ahli Parlimen, dengan tegas menyatakan beliau enggan insiden berkenaan berulang.

“Ingin saya ingatkan Ahli Dewan, kita dalam siaran langsung. Kita akan menjadi bahan ketawa di luar.

“Saya duduk di sini, saya tidak mahu perkara seperti tadi berlaku lagi dalam Dewan. Saya serius mengenainya,” tegas beliau.

Sidang kemudian diteruskan dengan giliran Lim Guan Eng (PH - Bagan) untuk berbahas di Dewan Rakyat pada Isnin.