POLITIK
Selepas diugut Rafizi tetap teruskan audio siar ‘Yang Berhenti Menteri’

Rafizi berpendapat risiko yang dihadapinya adalah sebahagian daripada perubahan yang beliau ingin bawa dalam politik negara. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Rafizi Ramli tetap meneruskan segmen wawancara audio siar ‘Yang Berhenti Menteri’ selepas insiden anak lelakinya diserang di sebuah pusat membeli belah di Putrajaya pada Rabu.
Bekas Menteri Ekonomi itu juga turut berkongsi pandangan tenaga kerja produksinya agar wawancara tersebut tidak bersiaran pada hari ini, namun beliau berpendapat program tersebut harus berjalan seperti biasa.
“Pandangan saya ialah, itu yang pembuli mahukan, memang reaksi yang dia nak ialah mengacau hidup kita, semua tak boleh jalan, jadi sebab itu perkara yang terbaik adalah teruskan seperti biasa, podcast juga harus diteruskan,” katanya.
Rafizi juga berpendapat, risiko yang dihadapinya adalah sebahagian daripada perubahan yang beliau ingin bawa dalam politik negara.“Sebab itu kalau yang mendengar sebelum ini kami kritikal bukanlah sebab menang atau kalah sangat..harga yang perlu dibayar untuk membuat perubahan adalah sangat tinggi dan ianya telah dibayar oleh ramai orang,” ujarnya.
Turut hadir semasa wawancara tersebut ialah Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail.
Semasa sidang media di Parlimen pada Khamis, Rafizi percaya serangan terhadap ahli keluarganya mempunyai kaitan dengan usahanya untuk membongkar skandal tertentu.
Ahli Parlimen Pandan itu sebelum ini memaklumkan kejadian berlaku kira-kira pukul 1.45 tengah hari ketika anak dan isterinya baru memasuki kereta di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.
Anak beliau dikatakan ditarik secara tiba-tiba dan dicucuk dengan jarum suntikan.
Beliau turut menjelaskan masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan perubatan berhubung insiden membabitkan anak tunggalnya.
Rafizi memberitahu, ketika ini anaknya diletakkan di bawah pemantauan selama enam bulan termasuk perlu menjalani ujian darah pada setiap enam minggu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami