KUALA LUMPUR: Selepas mengalami prestasi buruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan lepas, Pakatan Harapan (PH) terus dirundung malang dalam PRN Sarawak.

PH hanya mampu menang dua kerusi melalui DAP di Dewan Undangan Negeri (DUN) Padungan dan Pending yang masing-masing dimenangi Ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen dan Violet Yong Wui Wui, manakala PKR dan Amanah tewas di semua kerusi yang ditandingi.

Daripada 82 kerusi Dun Sarawak, PH mempertaruhkan calon mereka di 62 kerusi dengan DAP bertanding 26, PKR (28) dan Amanah meletakkan calonnya di lapan kerusi.

Di kerusi DUN Padungan, Chieng Jen menerima 4,686 undi mengalahkan calon GPS Wee Hong Seng yang mendapat 3,488 undi, PBK Raymond Thong Ee Yu (930) dan Lina Soo daripada Aspirasi yang hanya mendapat 193 undi.

Manakala seorang lagi calon DAP, Violet Yong pula mengekalkan kerusi DUN Pending dengan mendapat 5,188 undi menwaskan calon GPS Milton Foo (4,648 undi), PSB Tan Kay Hok (1,858), PBK Teo Kuang Kim (978) dan Aspirasi Chan Chee Hiong (204).

BACA: [LAPOR LANGSUNG] PRN Sarawak: Abang Jo angkat sumpah Ketua Menteri Sarawak ke-7

Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diketuai Tan Sri Abang Johari Tun Openg berjaya membentuk kerajaan dengan kemenangan dua pertiga.

Pada PRN Sarawak 2016, DAP menang tujuh kerusi dan PKR menang tiga kerusi, namun kali ini hanya kerusi Padungan dan Pending sahaja berjaya dikekalkan.