Pelantikan semula semua anggota Exco kerajaan negeri oleh Menteri Besar Kedah membuktikan hikmah dan kebijaksanaan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebagai 'orang lama' dalam politik dan
pemimpin yang berpengalaman.

Anggota Dewan Negara mewakili masyarakat Siam, Senator Datuk Seri Boon Som Inong berkata langkah diambil Ahmad Bashah itu bukan sahaja dapat memastikan kesinambungan perancangan yang dibuat dan meneruskan pembangunan sedang dijalankan, tetapi juga dapat mengekal dan mengukuhkan perpaduan dalam jentera pentadbiran dan parti.

"Langkah itu sekali gus sudah tentu memberi tamparan hebat kepada pihak yang selama ini menyebarkan tohmahan dan fitnah kononnya barisan Exco yang ada akan dirombak dan digugurkan serta diganti dengan muka baharu.

"Ini dikatakan hikmah dan hemah orang lama dalam politik. Tindakannya tak ubah seperti menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.

"Hikmah dan hemah sebegini tidak mungkin diperoleh melainkan pada orang lama yang berpandangan jauh," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Boon Som berkata hikmah dan hemah sedemikian tidak terikat kepada kedudukan, pangkat dan kelulusan semata-mata, namun ia bergantung kepada pengalaman yang luas dan jauhnya pandangan seseorang pemimpin itu.

Semalam, sembilan anggota Exco di bawah pentadbiran bekas menteri besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, dikekalkan dan mengangkat sumpah di hadapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah.

Sementara itu, Boon Som turut mengalu-alukan pelantikan Datuk Dr Leong Yong Kong sebagai Pengerusi Portfolio Hal Ehwal Masyarakat Siam.