KUALA LUMPUR: Persengketaan antara parti-parti politik yang membentuk kerajaan ketika ini telah dinoktahkan sejak tertubuhnya Kerajaan Perpaduan pada Disember lepas, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.

Beliau berkata apa-apa perkara berkenaan kisah silam membabitkan parti-parti yang menganggotai Kerajaan Perpaduan pada hari ini perlu dilupakan dan tidak dibuka kembali bagi menjamin kestabilan negara.

"Tak perlu kita ulas lagi, seperti yang kita kata, kita telah bentuk kerajaan lebih enam bulan, jadi saya rasa kalau kita terus berpolemik dengan kisah-kisah silam, dengan kisah-kisah lama ia tidak akan berkesudahan.

"...Kabinet telah berfungsi dan kita telah duduk dalam satu Jemaah Menteri setiap minggu dah enam bulan dan setakat ini tak timbul pun apa-apa isu mengenai keserasian dalam parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi Ucapan Dasar Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia, hari ini.

Loke mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh yang menuntut DAP membuat permohonan maaf secara terbuka atas semua kata-kata dan tohmahan yang pernah dilemparkan kepada UMNO.

Menteri Pengangkutan itu berkata apa yang penting pada masa kini adalah parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu bergerak ke hadapan dan fokus menghadapi cabaran lain, antaranya ekonomi, pembangunan negara dan ia perlu ditempuh bersama-sama.

"Saya rasa semua parti berlapang dada dan pimpinan parti masing-masing telah menunjukkan komitmen yang tinggi untuk kita bersama-sama, dan saya rasa pandangan yang lain itu kita hormati tapi yang penting pimpinan masing-masing telah pun ada satu persefahaman yang begitu jelas," katanya.

Sementara itu, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menzahirkan tahniah kepada UMNO atas kejayaan perhimpunan agung parti itu kali ini serta mendukung Ucapan Dasar Presiden yang disampaikan Ahmad Zahid.

"Saya ucapkan tahniah atas keupayaan dalam perhimpunan pada kali ini dan beberapa ucapan dinyatakan Ahmad Zahid iaitu menyentuh tentang kepentingan rakyat. Tahniah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan itu.

Ditanya mengenai kerjasama Warisan untuk membantu Kerajaan Perpaduan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri nanti, Mohd Shafie berkata parti itu telah mengatur jenteranya di negeri-negeri terlibat.

Enam negeri yang akan berhadapan dengan PRN tidak lama lagi ialah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Terdahulu dalam ucapan dasar Presiden, Ahmad Zahid berkata UMNO memikul amanah besar dalam memastikan kejayaan pembentukan Kerajaan Negeri yang seiring dengan Kerajaan Persekutuan pada masa ini dalam PRN kelak.

Katanya, kemenangan pada PRN berkenaan penting dalam mengukuhkan agenda Islam dan Melayu yang didukung oleh Putrajaya selain bagi membawa perubahan besar terutamanya melibatkan pembangunan asas di negeri-negeri terlibat.

-- BERNAMA