JOHOR BAHRU: Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti pada kali ini.

Pengunduran veteran UMNO itu disahkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pada Sabtu.

Katanya, Shahrir mempunyai sejarah panjang dan sumbangan besar dalam UMNO Johor buat tempoh lebih 40 tahun

Bagaimanapun, parti itu tetap akan akur dan menghormati keputusan yang dibuat beliau demi kebaikan bersama.

“Kita juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Shahrir yang umumkan beliau tidak akan mmpertahankan jawatan beliau sebagai Ketua UMNO Bahagian.

“Itu bermakna, beliau tidak lagi dalam Perhubungan UMNO Johor selepas ini. Maka kita ucapkan dan hargai sumbangan beliau selama ini dalam UMNO Negeri Johor,” kata beliau.

Khaled dalam masa sama turut mengharapkan Pemilihan UMNO yang berlangsung di setiap cawangan dan bahagian bagi negeri itu dapat dijalankan dengan tenteram, dengan penuh kematangan.

Sementara itu, Shahrir ketika ditemui, turut mengesahkan persaraannya dalam arena politik pada masa terdekat.

Ia sekali gus menjawab persoalan mengenai punca beliau tidak bertanding pada pemilihan parti kali ini.