Skip to main content

Politik

Sidang Khas Laporan RCI Tabung Haji: Ahli Parlimen PN bertindak keluar dewan, wakil Bersatu kekal

RTM
Sebahagian Ahli Parlimen pembangkang dari gabungan Perikatan Nasional (PN) meninggalkan Dewan Rakyat ketika Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan meneruskan perbahasan berhubung Laporan RCI Tabung Haji.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memutuskan untuk meneruskan Persidangan Khas Dewan Rakyat bagi membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini.

Keputusan tersebut dibuat susulan Ketua Whip Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendesak agar ditangguhkan persidangan kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dapat hadir akibat menjalani pembedahan kesihatan.

Johari bagaimanapun berpandangan ketidakhadiran Perdana Menteri tidak menghalang persidangan diteruskan memandangkan kerajaan masih diwakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta anggota Kabinet lain.

“Adakah anda mahu merendahkan kedudukan Timbalan Perdana Menteri? Beliau berada di sini mewakili Kabinet. Menteri-menteri lain juga berada di sini mewakili Kabinet,” katanya ketika menjelaskan pendiriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah beliau, Ahli Parlimen juga mempunyai saluran lain untuk meneruskan penelitian terhadap isu yang dibangkitkan, termasuk menerusi sesi Belanjawan pada 5 Oktober serta Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC).

“Buat satu itu resolusi, panggil siapa lagi arahan-arahan yang diperlukan, bentangkan dan desak,” katanya lagi.

Namun, ketika Johari meneruskan persidangan, sebahagian Ahli Parlimen pembangkang bertindak meninggalkan Dewan sebagai tanda tidak bersetuju dengan keputusan itu.

Image
RTM
Pembangkang nak ‘walk out’? soal Johari kepada Ahli Parlimen Perikatan Nasional semasa Persidangan Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum mereka beredar, Johari sempat mendapatkan pengesahan daripada Takiyuddin mengenai tindakan tersebut.

“Pembangkang nak ‘walk out’? That's your decision? Saya nak tanya sekarang, adakah pembangkang nak ‘walk out’?” soal Johari.

“Ya,” jawab Takiyuddin ringkas.

Susulan itu, sebahagian Ahli Parlimen pembangkang meninggalkan Dewan ketika Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan meneruskan perbahasan berhubung laporan RCI berkenaan.

Takiyuddin sebelum itu menegaskan, kehadiran Anwar penting kerana persidangan khas berkenaan diadakan atas permintaan Perdana Menteri, selain isu RCI Tabung Haji mempunyai kepentingan awam yang tinggi.

Menurutnya, pembangkang mahu Perdana Menteri hadir sendiri bagi mendengar perbahasan serta memberikan respons terhadap perkara yang dibangkitkan.

“Jadi untuk menunjukkan Perdana Menteri seorang yang bertanggungjawab, kami mohon dengan rendah diri supaya persidangan ini ditangguhkan.

“Kalau dia (Perdana Menteri) datang, kita bahas. Tapi kalau dia tak datang… kalau kita bahas tanpa Perdana Menteri, macam kita buat sidang media,” kata Takiyuddin.

Dalam perkembangan sama, Datuk Mohd Radzi Md Jidin (Bersatu-Putrajaya) menegaskan, Ahli-Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan kekal berada di dalam Dewan dan tidak menyertai tindakan keluar beramai-ramai itu.

 

 


 

Must Watch Video

Advertisement