Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mendakwa sikap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sejak setahun yang lalu telah memusnahkan Pakatan Rakyat , biarpun ahli parlimen Marang itu menegaskan bahawa gabungan itu masih belum berkubur.

Katanya, Abdul Hadi tidak hadir mesyuarat Pakatan Rakyat, menggunakan kuasa vetonya menolak keputusan yang dibuat pada mesyuarat yang tidak dihadirinya dan enggan menghormati janji yang beliau buat sendiri semasa mesyuarat.

"Saya berasa pelik bila Hadi mendakwa Pakatan tidak mati apabila, pada tahun lepas, beliau telah secara bersendirian memusnahkan Pakatan dengan melanggar konsensus dan rangka kerja polisi bersama Pakatan, dua tiang yang mengawal kejayaan PR dalam pilihan raya umum ke-13, di mana tanpanya, memang tidak wujud Pakatan Rakyat," kata Kit Siang dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Abdul Hadi berkata bahawa Pakatan Rakyat masih wujud dan menegaskan DAP tidak mempunyai hak untuk menyebut bahawa gabungan itu tidak lagi wujud.

Beliau memberitahu wartawan di kediamannya bahawa tiada sebarang kenyataan rasmi mengenai pembubaran Pakatan Rakyat oleh DAP.

Abdul Hadi juga mendakwa rakan-rakan sekutu PAS dalam gabungan pembangkang bertindak tergesa-gesa kerana tidak memahami makna pakatan.

BACA: Pakatan Rakyat masih wujud - Abdul Hadi

Mengulas lanjut, Kit Siang berkata beliau tidak mempunyai kepentingan untuk campur tangan dalam percanggahan pandangan beberapa pemimpin PAS berhubung status pakatan pembangkang.

"Memandangkan kepimpinan PAS yang baharu dilihat seolah-olah bertelagah antara satu sama lain sama ada usul pada Muktamar PAS telah membawa kepada pembubaran Pakatan Rakyat, saya tidak mempunyai kepentingan campur tangan dalam perbezaan tafsiran mereka," katanya.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu merujuk kepada kenyataan Dewan Ulama PAS sebelum ini di mana Datuk Dr Mahfodz Mohamed seolah-olah bersetuju bahawa Pakatan telah dibubarkan.

Mahfodz dipetik sebagai berkata bahawa dia tidak menyesal dengan usul muktamar untuk memutuskan hubungan dengan DAP, walaupun ia telah menyebabkan pembubaran Pakatan.