Skip to main content

Politik

Sokong Anwar rawat, martabatkan kembali TH, berhenti main politik – Penganalisis

Tabung Haji
Tegas Misrinah, pihak-pihak yang berkepentingan juga hendaklah berhenti mempolitikkan isu TH bagi mendapat perhatian dan membuat kenyataan-kenyataan yang tidak membina untuk membantu kerajaan menyelesaikan kemelut tersebut.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Semua pihak hendaklah menyokong usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperbaiki semula imej, operasi pentadbiran dan memartabatkan semula Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai lambang kekuatan ekonomi Melayu-Islam.

Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Kolej Undang-Undang, Kerajaan & Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Misrinah Misban menjelaskan, ia perlu setelah kedudukannya sering dikaitkan dengan kepentingan ummah dan integriti pengurusan kewangan negara.

Tegasnya, pihak-pihak yang berkepentingan juga hendaklah berhenti mempolitikkan isu TH bagi mendapat perhatian dan membuat kenyataan-kenyataan yang tidak membina untuk membantu kerajaan menyelesaikan kemelut tersebut.

"Tanpa mengira mana-mana parti politik, pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti siapa pelaku salah guna kuasa dalam TH sekarang dan sebelum ini bagi mencari keadilan kepada jutaan pendeposit TH.

"Dengan berbuat demikian, kerajaan telah memberikan satu teguran kepada barisan kepimpinan TH di masa ini dan yang akan datang agar tidak menggunakan institusi tersebut untuk kepentingan peribadi dan usaha tersebut akan menakutkan penyakau untuk merompak harta negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung siasatan terhadap isu pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 tidak mempunyai sebarang kaitan dengan UMNO secara keseluruhan, melainkan hanya melibatkan individu tertentu yang didakwa membuat keputusan salah.

Ketua Pembangkang itu menjelaskan, sebarang isu atau salah guna kuasa yang berbangkit daripada laporan berkenaan tidak sepatutnya digunakan untuk mempolitikkan atau menjejaskan imej parti tersebut.

Pada Selasa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata, Lembaga TH kini berada pada kedudukan jauh lebih kukuh selepas melalui proses pemulihan institusi.

Beliau berkata, ketika Kerajaan MADANI mengambil alih pentadbiran negara pada penghujung 2022, TH sedang dalam proses menangani aset-aset legasi yang kurang berdaya saing dan bermasalah yang masih kekal di institusi itu selepas 2018.

Dalam pada itu ujar Misrinah, apa yang sedang berlaku akan menyebabkan umat Islam di negara ini lebih yakin untuk membuat simpanan mereka dalam TH kerana pihak pengurusan TH sentiasa menguruskan institusi tersebut mengikut tatakelola baik.

Must Watch Video

Advertisement