KUCHING: Penyediaan prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengambil kira pandangan semua pihak bagi menentukan garis panduan tepat dan bersesuaian dengan keadaan geopolitik negeri itu.

Penganalisis Politik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata berdasarkan kawasan geografi dan kemudahan akses internet di Sarawak, SOP PRN di Melaka tidak mungkin dapat dijadikan contoh terutama berkaitan SOP cara berkempen.

“Bagi PRN Sarawak, SPR perlu ada perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan, agensi keselamatan dan juga parti-parti poltik yang terlibat.

“Saya kira bukan sahaja pembangkang yang tidak puas hati, tetapi parti-parti GPS juga tidak berpuas hati, kerana bagi orang politik kalau tidak bersemuka dengan pengundi itu merupakan satu ketidakpuasan kepada mereka, dan perkara yang ingin disampaikan tidak didengari rakyat” ujarnya ketika ditemu bual Astro Awani pada Selasa.

Awang Azman berkata kempen secara bersemuka itu penting bagi setiap ahli politik yang bakal bertanding tetapi perlu ada garis panduan dan SOP yang selamat serta ketat.

“Kita tidak boleh menyekat kebebasan untuk memastikan prinsip pilihan raya itu dicapai, mengapa berlakunya pilihan raya adalah untuk memilih pemimpin yang terbaik, kalau pemimpin itu tidak dapat berjumpa dengan pengundi mereka, hanya dapat berjumpa secara virtual, bagaimana mereka hendak menyampaikan idea mereka di kawasan yang tidak dapat diakses dengan internet.

“Oleh itu, kita harus ada pertimbangan untuk PRN12 Sarawak. Jangan samakan situasi di Melaka. Saya berpendapat SPR pasti bersifat fleksibel dalam konteks ini kerana saiz Melaka tidak dapat disamakan untuk Sarawak,” jelasnya.

Beliau menekankan SPR perlu mempunyai prinsip keterbukaan dan seharusnya tidak menjadikan Melaka itu model sepenuhnya terutamanya pertemuan secara bersemuka yang tidak dibenarkan.

“Ini tidak adil, tidak wajar dan tidak munasabah untuk rakyat negeri Sarawak,” katanya.