KUALA LUMPUR: Mungkin ini realitinya, tetapi berdasarkan kaji selidik Astro AWANI, sekitar 67 peratus responden tidak berpuas hati dengan perkhidmatan wakil rakyat mereka, baik di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), mahupun Parlimen.

Itu antara dapatan yang diperolehi, selepas kami bertanyakan soalan – Adakah anda berpuas hati dengan perkhidmatan YB (Yang Berhormat) di kawasan anda?

Daripada jumlah 1,832 responden, sebanyak 67 peratus mengatakan mereka tidak berpuas hati, 23 peratus pula berasakan perkhidmatan yang diberikan mencukupi, manakala 10 peratus lagi mengatakan mereka tidak tahu tentang tahap perkhidmatan YB mereka.

sebanyak 67 peratus mengatakan mereka tidak berpuas hati, 23 peratus pula merasakan perkhidmatan yang diberikan mencukupi, manakala 10 peratus lagi mengatakan mereka tidak tahu tentang tahap perkhidmatan YB mereka.

Mengangkat tema "Malaysia Memilih" sempena PRU15 yang akan berlangsung pada November 2022, Astro AWANI menyediakan soalan berbentuk kaji selidik buat seluruh rakyat Malaysia bermula 17 Oktober lalu.

Perbincangan yang dilakukan dalam Buletin Astro AWANI disertakan dengan diskusi bersama wakil-wakil politik, penganalisis serta badan-badan bukan kerajaan.

Soalan baharu akan dikemukakan bermula Buletin AWANI jam 12 tengah malam dan keputusan akan dikongsi pada keesokan harinya.

Astro AWANI juga menggunakan tanda pagar #SuaraMalaysia di semua platform media sosial bagi mengikuti segala komen dan pandangan anda tentang isu yang diutarakan.

Apa yang perlu anda buat, tonton segmen berita kami di saluran 501 AWANI dan imbas kod QR yang tertera untuk mengakses soalan yang disediakan.

Pada esok (Isnin), Astro AWANI akan mengemukakan soalan baharu. Sertai melalui pautan ini undi.astroawani.com