AYER KEROH: Polemik politik Melaka kembali hangat diperkatakan apabila kepimpinan tertinggi negeri itu disebut-sebut akan bertukar tangan.

Ia apabila kedudukan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali didakwa akan digantikan oleh Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Sulaiman bagaimanapun menafikan beliau akan melepaskan jawatan itu awal Januari ini seperti yang didakwa sebuah laporan media semalam.

“Tidak betul,” katanya ringkas ketika dihubungi bagi menjawab sama ada benar beliau bakal meletakkan jawatan ataupun tidak.

Semalam, sebuah akhbar berbahasa Cina melaporkan kononnya Sulaiman berhasrat melepaskan jawatan dan bakal digantikan oleh Ab Rauf dengan majlis angkat sumpah Ketua Menteri baharu bakal diadakan pada 3 Januari ini.

Laporan itu turut menyebut pertukaran tersebut akan menyaksikan perubahan dalam barisan exco kerajaan negeri dengan tiga daripada mereka terpaksa digugurkan.

Malahan timbul desas-desus mengatakan Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu sudah menghantar surat pemakluman berkenaan kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam serta Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sebelum ini, selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka November tahun lalu, situasi politik di negeri ini beberapa kali berdepan detik genting apabila timbul dakwaan kononnya jawatan ketua menteri akan bertukar tangan.

Ia selepas ada pihak mendakwa Ab Rauf berhasrat untuk mengambil alih jawatan berkenaan meskipun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara itu juga sudah beberapa kali menafikannya.