Surat Pendaftaran Pertubuhan (RoS), yang menyatakan Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel bukan lagi ahli parti itu, telah dimanipulasikan oleh ahli-ahli politik untuk mengeliru dan menipu ahli parti dan orang awam, kata Setiausaha Agung MIC, Datuk S. Sothinathan.

Beliau berkata surat seperti itu merupakan prosedur operasi standard umum oleh mana-mana jabatan kerajaan yang dihantar sebagai surat pemberitahuan tetapi ia telah diputarbelitkan oleh pihak tertentu untuk agenda peribadi dan politik mereka.

Beliau menarik perhatian bahawa RoS tidak membuat sebarang penentuan atas permohonan Artikel 91 Perlembagaan MIC kerana mereka (RoS) tahu mereka tidak mempunyai bidang kuasa untuk mentafsir perlembagaan parti.

"Hanya presiden MIC dan anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) mempunyai kuasa mentafsir perlembagaan dan bukan RoS," katanya kepada pemberita selepas menemui pegawai Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) di Pejabat RoS di sini pada Jumaat.

Mengenai mesyuarat selama 45 minit itu, Sothinathan berkata bahawa RoS memaklumkan kepada beliau bahawa mereka akan merekodkan secara rasmi resolusi yang diluluskan pada mesyuarat tergempar CWC 2009 yang dipengerusikan oleh Palanivel di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Beliau berkata berkata pegawai-pegawai Jabatan RoS memberitahu beliau bahawa mereka akan mencatatkan secara rasmi bahawa Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan 14 pemimpin MIC lain digantung daripada parti, seperti diputuskan oleh Palanivel pada 16 Jun lepas.

Semalam, Dr Subramaniam mendakwa RoS dalam surat kepada CWC Interim 2009 telah mengesahkan bahawa Palanivel bukan lagi parti kaum India itu berdasarkan mengikut Artikel 91 Perlembagaan MIC.

RoS juga mengiktiraf Dr Subramaniam akan berfungsi dalam kapasiti pemangku presiden untuk memimpin CWC Interim 2009 bagi mengendalikan pemilihan semula parti seperti keputusan RoS itu.

Bagaimanapun, Palanivel menafikan perkara itu dengan mengatakan Dr Subramaniam bersalah kerana memperdayakan orang ramai dengan mengatakan RoS telah mengesahkan penyingkiran beliau berdasarkan Artikel 91 Perlembagaan MIC.

Artikel 91 menyatakan mana-mana ahli yang merujuk hal berkaitan parti ke mahkamah tanpa persetujuan CWC akan hilang keahlian secara automatik.

Palanivel dan Dr Subramaniam bertelagah untuk mengawal parti itu selepas RoS mengisytiharkan keputusan pemilihan parti MIC pada November 2013 batal dan tidak sah selepas berlaku penyelewengan.

Justeru, RoS mencadangkan supaya parti itu mengadakan pemilihan semula.

Palanivel dan empat lagi pemimpin parti itu mencabar keputusan RoS untuk mengadakan pemilihan semula di Mahkamah Tinggi tetapi cubaan mereka gagal.