PUTRAJAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa 'swing' yang diterima Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu telah mula mereda pada kadar yang signifikan.

Timbalan Presidennya, Rafizi Ramli berkata corak perubahan itu berdasarkan data kajian setakat Jun lalu, yang mana data tersebut, katanya akan didedahkan dalam masa terdekat menjelang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

Dakwa beliau lagi, data tersebut menunjukkan bahawa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang berada dalam keadaan selesa.

"Data setakat bulan Jun menunjukan ia semakin mereda. Jadi kalau berdasarkan angka itu dia (PN) tidak banyak kredibiliti kalau PN ingin mendakwa bahawa mereka semakin hampir ambil alih Kerajaan Selangor, Negeri Sembilan atau Pulau Pinang.

"Setakat ini, data-data seperti ini tidak berbeza dengan keputusan-keputusan pilihan raya yang lepas," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Menteri Ekonomi bersama Warga Kementerian Ekonomi di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa data tersebut juga menyaksikan keadaan sengit dijangka berlaku di dua negeri pembangkang iaitu Kedah dan Kelantan pada PRN akan datang.

"Sebab itu saya ingat sebahagian dakwaan-dakwaan yang dibuat oleh PN ini adalah juga untuk menutup kebimbangan mereka sendiri bahawa keadaan itu sebenarnya yang akan sengit bukan di Selangor, Negeri Sembilan atau Pulau Pinang, tetapi sebenarnya di Kedah dan Kelantan," tambah Rafizi.

Sebelum ini, Astro AWANI melaporkan Rafizi akan mengemukakan data bagi membuktikan bahawa Pakatan Harapan (PH) lebih mendapat sokongan berbanding PN.

Katanya, data yang bakal didedahkannya itu sekali gus akan membuktikan bahawa dakwaan yang dibuat oleh PN adalah tidak berasas.

Daripada enam negeri yang bakal mengadakan PRN, tiga negeri di bawah pentadbiran PH iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, manakala tiga negeri lagi dikuasai oleh pembangkang iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh-tarikh penting PRN di enam negeri selepas Mesyuarat Khas esok.