KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz hari ini mendakwa 10 orang lagi Ahli Parlimen, khususnya dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), akan melontarkan sokongan mereka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam satu sidang media khas, beliau berkata, jumlah keseluruhan ialah 11 orang, termasuk Ahli Parlimen Tanjong Karang Datuk Dr Zulkafperi Hanapi, yang telah pun mengisytiharkan sokongannya semalam.

Syed Abu Hussin berkata, 10 lagi Ahli Parlimen tersebut merangkumi lima orang dari Kedah, Pulau Pinang dan Perak, tiga orang dari Kelantan, Terengganu, dan Pahang, dan tiga lagi dari Selangor dan Melaka.

“Secara keseluruhannya, ahli Parlimen Perikatan Nasional khususnya ahli Parlimen Bersatu, rasa amat kecewa dan tidak rasa dihargai dan dijaga oleh parti. Sebab sehingga ke hari ini, Bersatu tidak ada hala tuju yang jelas.

“Khususnya Bersatu, jarang memanggil ahli Parlimennya untuk berbincang, dan macam mana nak membantu ahli-ahli Parlimen Bersatu menjaga kawasan Parlimen. Soal kewangan memang satu soal yang sangat menjadi masalah besar kepada semua ahli Parlimen.

“Kalau parti tak ambil perhatian, siapa lagi nak ambil perhatian? Sebab janji ucapan kita semua, kita sebut nak menjaga dan membela nasib orang-orang di kawasan kita. Dah setahun tiada apa berlaku,” katanya lagi.

Ketika ini Syed Abu Hussin berkata, formula nombor yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat ialah 8+3+5.

Lapan orang Ahli Parlimen, katanya lagi, merujuk kepada mereka yang sudah membuat keputusan untuk menzahirkan sokongan kepada Perdana Menteri, dengan tambahan tiga lagi yang akan membuat keputusan yang serupa.

Manakala baki lima lagi Ahli Parlimen, beliau berkata, merupakan lima pemimpin politik yang mempunyai pengalaman cukup luas dalam Kerajaan, dan Syed Abu Hussin menyeru untuk mereka turut sama menyertai gerakan tersebut.

“Bagi mereka yang mempunyai pengalaman, dalam kerajaan yang lepas, ada lagi lima orang ahli Parlimen Bersatu yang ada pengalaman keluar daripada parti, menyokong parti lain, dan selepas itu tubuhkan Kerajaan.

"Sebab itu saya tambah lima. Saya menyeru mereka untuk fikir semula, kebolehan yang ada pada mereka, dalam percaturan politik yang lepas, boleh diguna pakai kali ini, di antara mereka ialah – Larut (Datuk Seri Hamzah Zainuddin), Beluran (Datuk Seri Ronald Kiandee), Masjid Tanah (Datuk Mas Ermieyati Samsudin), Tanah Merah (Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, dan Hulu Terengganu (Datuk Rosol Wahid),” katanya lagi.