Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yakin bahawa PAS tidak akan memenangi pilihan raya kecil (PRK) Rompin kerana mereka tidak mampu melaksanakan janji seperti yang dilakukan Barisan Nasional (BN).

Katanya, PAS kini dilihat telah banyak menabur janji kosong kepada pengundi kawasan itu kerana mereka sendiri tahu bahawa mereka tidak akan dapat memenangi kerusi tersebut.

Berucap pada program majlis perasmian pecah tanah Dewan Semai Bakti, Felda Keratong 4 di Muadzam Shah, Isa berkata slogan 'Selamatkan Felda' oleh PAS sebenarnya ditujukan kepada parti itu sendiri.

Katanya yang perlu diselamatkan ialah PAS dan bukannya Felda kerana mereka sendiri berdepan dengan krisis dalam Pakatan Rakyat (PR).

"PAS tau dia tak menang, jadi dia cakap macam-macam. Nak selamatkan Felda? Apa yang nak diselamatkannya?

"Memang dah selamat dah. Taubat PAS takkan menang di Rompin," katanya.

Menurut beliau, keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menurunkan harga rumah Projek Generasi Baru Felda (PGBF) daripada RM125,000 kepada RM90,000 telah dicadangkan sejak tahun lalu dan bukan diumumkan semata-mata untuk memenangi PRK Rompin ini.

Bagaimanapun katanya waktu PRK Rompin inilah yang paling sesuai untuk mengumumkan perkara tersebut meskipun Najib pada awalnya ingin mengumumkannya di Pekan, Pahang.

Mengulas lanjut mengenai PAS, Isa berkata jika ahli-ahli PAS dilelong semuanya sekali pun, tidak akan sama nilainya seperti calon BN.

"Setakat ceramah hulur ketayap sampai kiamat jalan tak siap. Itu bohong... itu janji politik," kata Isa.

Beliau merujuk kepada langkah PAS yang mengutip derma pada sesi-sesi ceramahnya untuk membina Lebuhraya Kota Baru-Kuala Krai.

Hari ini merupakan hari terakhir tempoh berkempen bagi PRK Parlimen Rompin yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara calon BN dan calon PAS.

BN meletakkan bekas timbalan menteri besar Pahang, Datuk Hasan Arifin sebagai calon mereka manakalan PAS meletakkan calon dari Dewan Pemuda mereka, Nazri Ahmad.

PRK Rompin ini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Jamaluddin Jarjis yang maut dalam kejadian nahas helikopter bulan lalu.