Anggota DAP Teh Yee Cheu hari ini mengumumkan keluar parti itu bagi membuka jalan untuknya bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pinang atas tiket parti lain.

Teh yang merupakan Anggota DUN Tanjung Bungah selama dua penggal sejak 2008, berkata beliau memutuskan untuk tidak mempertahankan kerusi itu dan bertanding di Sungai Pinang pada pilihan raya umum ke-14 ini kerana tidak mahu dikatakan menggunakan sumber DAP untuk menang.

Bercakap pada sidang media di sini, Teh bagaimanapun enggan mendedahkan parti yang akan disertainya itu namun mengatakan satu sidang media mengenai perkara tersebut akan diadakan di Sungai Pinang esok.

"Saya tidak minta penyokong saya ikut saya ke Sungai Pinang kerana saya mahu mewujudkan satu kumpulan penyokong baharu dan berharap rakyat akan menyokong 'suara ketiga' pada persidangan DUN," katanya.

Terdahulu, Teh yang menyertai DAP pada 2000, menyerahkan surat rasmi keluar parti selain lima keping kad keanggotaan dan bendera parti kepada Pengerusi DAP Tanjung Bungah Lim Cheng Hoe.

Mengulas lanjut, Teh berkata beliau keluar daripada DAP secara baik dan menambah yang beliau telah menimbang untuk berbuat demikian sejak 2013 atas pelbagai isu yang tidak selesai.

Beliau merupakan antara anggota DAP yang lantang mengkritik parti itu selain sentiasa menyuarakan kebimbangan atas pelbagai isu alam sekitar termasuk kejadian banjir yang sering melanda negeri serta kejadian tanah runtuh yang mengorbankan 11 nyawa di Tanjung Bungah pada Oktober tahun lepas.

Teh juga menerajui inisiatif untuk mengehadkan tempoh memegang jawatan ketua menteri kepada dua penggal.

-- BERNAMA