TAIPING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sepetang, Ahmad Man mengakui hasrat untuk menyertai Parti Wawasan Negara (Wawasan) terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu kerana masih terikat dengan Akta Anti Lompat Parti.
Beliau yang kini masih berstatus ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tetapi digantung keahlian berkata, sebarang tindakan menyertai parti politik lain ketika ini boleh menyebabkan beliau berdepan implikasi di bawah akta berkenaan.
"Saya memang terpaksa tunggu. Sebab kalau saya masuk mana-mana parti, saya akan dihukum bawah Akta Anti Lompat Parti.
"Jadi saya memang masih terikat dan saya tunggu dipecatlah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas hala tuju politiknya susulan pengumuman ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang menyertai Wawasan selepas dipecat daripada Bersatu.
Menurut bekas Ketua Bersatu Bahagian Bukit Gantang itu, walaupun masih menjalankan tugas sebagai ADUN Kuala Sepetang atas tiket Bersatu, beliau kini bergerak bersama gerakan RESET yang disifatkannya bukan sebuah parti politik.
Ahmad mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai Ketua Bahagian Bersatu Bukit Gantang sebelum dikenakan tindakan penggantungan kerana tidak bersetuju dengan tindakan kepimpinan parti terhadap beberapa pemimpin dan ahli.
Katanya, keputusan itu kemudiannya diikuti oleh sebahagian besar jawatankuasa bahagian, cawangan serta ahli yang menyokong beliau apabila mereka mengisytiharkan keluar daripada Bersatu.
"Sehari dua hari selepas saya meletakkan jawatan sebagai Ketua Bahagian, semua jawatankuasa saya termasuk di peringkat bahagian dan cawangan serta ahli-ahli yang bersama saya turut keluar daripada Bersatu.
"Hari ini walaupun saya masih terikat dengan Akta Anti Lompat Parti dan tidak boleh menyertai mana-mana parti, ahli-ahli Bersatu yang dah keluar itu insya-ALLAH akan mendahului saya untuk bersama-sama dalam Wawasan,” katanya.
Beliau mendakwa sambutan terhadap Wawasan dalam kalangan bekas ahli Bersatu di Bukit Gantang amat memberangsangkan sehingga menyebabkan struktur organisasi Bersatu di kawasan itu semakin lemah.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan Zainol Fadzi mengumumkan penyertaannya dalam Warisan selepas empat bulan dipecat daripada Bersatu.
Di Perak, selain Ahmad, ADUN Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zin turut digantung keahlian oleh Bersatu selain beberapa pimpinan Bersatu di peringkat bahagian yang turut dikenakan tindakan oleh lembaga disiplin parti berkenaan. - Sinar Harian