[TERKINI] Dr Sahruddin umum letak jawatan Pengerusi PN Johor
![[TERKINI] Dr Sahruddin umum letak jawatan Pengerusi PN Johor [TERKINI] Dr Sahruddin umum letak jawatan Pengerusi PN Johor](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-12/41767063729_DrSahruddin.jpg)
DR SAHRUDDIN: Bagi saya mudah sahaja. Saya dilantik oleh Tan Sri Muhyiddin. Apabila beliau letak jawatan, saya pun letak jawatan. - Foto Sinar Harian
JOHOR BAHRU: Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong itu memaklumkan perkara berkenaan dalam hantaran terbaharu Facebook miliknya.
Dr Sahruddin ketika dihubungi memaklumkan tindakan itu dibuat susulan peletakan jawatan Pengerusi PN Pusat, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Saya dengan ini meletak jawatan sebagai Pengerusi PN Johor.
"Hilang jawatan MB (Menteri Besar) pun saya suka (emoji), letak jawatan Pengerusi PN lagilah saya suka," tulisnya.
Dalam pada itu ketika dihubungi, Dr Sahruddin menafikan berlaku pergolakan dalam PN Johor sehingga menyebabkan dirinya meletakkan jawatan.
"PN Johor ok, tiada pergolakan. PN Johor sangat bagus. Kita baru mesyuarat dua minggu lepas dan ia berjalan baik. Peletakan jawatan ini tiada kena mengena dengan Johor.
"Bagi saya mudah sahaja, apabila pimpinan pusat letak jawatan, saya dilantik oleh Tan Sri (Muhyiddin). Apabila beliau letak jawatan, saya pun letak (jawatan PN Johor). Jadi saya minta pimpinan Muafakat Nasional (MN) lantik Pengerusi PN baharu di Johor.
"Keputusan ini menyusul keputusan Tan Sri (Muhyiddin). Di Parlimen Pagoh dan Bersatu Johor tiada perubahan," katanya.
Dr Sahruddin dilantik menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Johor berkuat kuasa pada Jun 2022. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


