SEREMBAN: Lima ADUN Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan hari ini mengumumkan sedia bekerjasama dengan 14 ADUN Barisan Nasional (BN) bagi memastikan kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri.
Ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Bakar dalam sidang medianya hari ini, turut menyerahkan surat kerjasama kepada BN negeri yang diwakili oleh Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mustapha Nagoor yang juga ADUN Palong.
Advertisement
Hanifah berkata, langkah itu dibuat untuk menjamin kestabilan kerajaan Negeri Sembilan bagı membangunkan negeri dan menjamin kesejahteraan rakyat.
“Mewakili rakyat Negeri Sembilan, kami kesal kerana krisis ini terus berlarutan dan menjejaskan keberkesanan pentadbiran Kerajaan Negeri sehingga Sidang Dewan Undangan Negeri Sembilan terpaksa ditangguhkan tanpa sebarang tarikh baharu.
“Ini membuktikan bahawa Datuk Seri Aminuddin Harun (Menteri Besar) gagal menanggani krisis ini secara bertanggungjawab demi kepentingan rakyat Negeri Sembilan,” katanya dalam sidang media di sebuah hotel di Seremban pada Isnin.
BACA: 14 ADUN UMNO BN Negeri Sembilan tarik sokongan terhadap Menteri Besar
Mengulas lanjut katanya, krisis itu bertambah serius apabila 14 ADUN BN Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap kepimpinan Aminuddin sebagai menteri besar.
“Sehubungan dengan itu, lima ADUN daripada PN bersedia untuk bekerjasama dengan 14 ADUN UMNO BN Negeri Sembilan untuk menjamin kestabilan Kerajaan Negeri dan kelangsungan pentadbiran Kerajaan Negeri bagı membangunkan Negeri Sembilan dan menjamin kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan,” katanya.
Turut hadir menerima serahan surat kerjasama itu ialah ADUN Johol Datuk Saiful Yazan Sulaiman.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023, Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan yang dipimpin Aminuddin memperoleh majoriti di Dewan Undangan Negeri.
Daripada 36 kerusi DUN, Pakatan Harapan (PH) menguasai 17 kerusi melibatkan DAP (11), PKR (5) dan Amanah (1), manakala BN melalui UMNO menyumbang 14 kerusi.
Blok pembangkang pula memperoleh lima kerusi, terdiri daripada Pas (3) dan Bersatu (2).