Dua calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar sah bakal berdebat di saluran 501 Astro AWANI.

Pegawai kepada kedua-dua tokoh telah menyatakan persetujuan untuk hadir di program 'Debat Presiden UMNO' yang dijadual berlangsung selama sejam bermula 9.30 malam, 29 Jun ini.

Buat masa ini, Astro AWANI sedang menantikan maklum balas daripada pihak Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sama ada bersetuju untuk bersama di dalam debat berkenaan.

Cadangan untuk berdebat muncul selepas Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dalam temu bualnya bersama Astro AWANI menyatakan kesediaan untuk berdebat dengan dua lagi calon presiden UMNO, Zahid dan Khairy Jamaluddin bagi menjawab semua persoalan yang berbangkit.


BACA: Pemilihan UMNO: Ku Li sedia berdebat dengan Zahid, KJ

Tengku Razaleigh atau mesra dengan panggilan Ku Li berkata, beliau bersedia untuk menjawab apa sahaja pertanyaan dari dua lagi calon jawatan presiden UMNO atau wakil mereka dalam sesi debat tersebut.

Cadangan tersebut kemudian disambut baik oleh Khairy dan ia dinyatakan di dalam sidang media khas beliau petang tadi.