[TERKINI] PRN Sabah: Abdul Rahman tarik diri bertanding, tiada isu dalaman BN - Ahmad Zahid
![[TERKINI] PRN Sabah: Abdul Rahman tarik diri bertanding, tiada isu dalaman BN - Ahmad Zahid [TERKINI] PRN Sabah: Abdul Rahman tarik diri bertanding, tiada isu dalaman BN - Ahmad Zahid](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/61763278560_BungMoktar.jpg)
Ahmad Zahid berkata Abdul Rahman (gambar) membuat keputusan itu secara terhormat selepas berbincang dengan beliau bagi memberi peluang kepada calon muda. - Gambar fail/Bernama
KOTA BELUD: Tiada masalah dalaman dalam Barisan Nasional (BN) berhubung keputusan Timbalan Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menarik diri sebagai calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, kata Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ringkasan AI
- Tiada masalah dalaman dalam Barisan Nasional (BN) berhubung penarikan diri Abdul Rahman Dahlan sebagai calon DUN Tempasuk PRN Sabah ke-17, kata Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
- Abdul Rahman membuat keputusan tersebut selepas berbincang dengan Ahmad Zahid untuk memberi peluang kepada calon muda UMNO Sabah.
- Keputusan tersebut menunjukkan sikap besar Abdul Rahman yang mengutamakan kepentingan parti dan memberi peluang kepada calon muda, dengan harapan calon BN Azuwan Marjan berjaya di Tempasuk.
"Hari ini saya ke Kota Belud, semalam Abdul Rahman sendiri datang mengiringi calon (di Kota Belud) dan tidak ada sedikit pun permasalahan di dalam BN," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Karnival Lindung Kerjaya di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.
Program berkenaan turut dihadiri calon BN bagi kerusi DUN Usukan Datuk Seri Mohd Salleh Said Keruak, calon BN bagi kerusi DUN Pintasan Tadzul Radim serta calon BN bagi kerusi DUN Tempasuk Azuwan Marjan @ Norjan.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata keputusan itu membuktikan Abdul Rahman berjiwa besar dan sentiasa mendahulukan kepentingan parti berbanding diri sendiri sekali gus sebagai teladan kepada pemimpin lain dalam memastikan semangat perpaduan dan kekuatan BN terus utuh di Sabah.
"Memang benar, di peringkat awal tawaran telah diberikan kepada Abdul Rahman, tetapi beliau telah menarik diri kerana merasakan peluang harus diberikan kepada anak muda. Jadi saudara Azwan Marjan telah diputuskan oleh UMNO Sabah untuk diketengahkan sebagai calon di Tempasuk.
"Tentunya kita ucapkan terima kasih kepada Abdul Rahman yang telah memberikan peluang ini kepada Azwan. Mudah-mudahan Azwan akan memenangi kerusi Tempasuk ini," katanya.
Di DUN Tempasuk, penyandangnya Datuk Mohd Arsad Bistari mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ditentang John Samud (Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat atau KDM), Dr Rimin Maun (Parti Kebangsaan Sabah atau PKS), Timuti Majitol (Parti Impian Sabah atau PIS), Mohd Khidir Lamsil (Warisan), Walter Mark Mukis (Parti Solidariti Tanah Airku atau STAR) dan Azwan (BN).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


