[TERKINI] PRN Sabah: Chan mampu perkukuh pelaksanaan Akta Pekerja Gig - Sim
![[TERKINI] PRN Sabah: Chan mampu perkukuh pelaksanaan Akta Pekerja Gig - Sim [TERKINI] PRN Sabah: Chan mampu perkukuh pelaksanaan Akta Pekerja Gig - Sim](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/81763440458_TBStevenSim.jpg)
Chan Foong Hin diyakini mampu mengukuhkan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah, khususnya dalam pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 yang diluluskan Dewan Rakyat pada September lepas, kata Steven Sim. - Gambar Bernama
KOTA KINABALU: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, Datuk Chan Foong Hin diyakini mampu mengukuhkan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah, khususnya dalam pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 yang diluluskan Dewan Rakyat pada September lepas.
Keyakinan itu disuarakan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim yang turut menyampaikan penghargaan terhadap Chan yang sentiasa membawa suara pekerja gig di negeri ini ke peringkat kebangsaan.
"Kerajaan MADANI percaya setiap pekerja berhak kepada perlindungan sewajarnya. Untuk memastikan perubahan ini benar-benar dirasai rakyat Sabah, kerjasama kukuh antara kerajaan persekutuan dan negeri amat penting.
"Kehadiran pemimpin seperti Datuk Chan mengukuhkan hubungan ini dan memastikan dasar yang diperkenalkan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan demi kesejahteraan rakyat Sabah," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Pada PRN ke-17, Chan yang juga Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi berdepan saingan sembilan penjuru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru yang mempunyai 21,264 pengundi.
Sim berkata, Sabah sahaja mempunyai sekitar 100,000 pekerja gig sekali gus menyaksikan kelompok besar yang selama ini beroperasi tanpa perlindungan mencukupi, maka penggubalan akta khusus penting untuk memastikan mereka tidak terus dibiarkan tanpa jaminan asas sebagai pekerja.
Terdahulu, Timbalan Setiausaha Agung DAP itu bersama Chan mengadakan pertemuan dengan kira-kira 1,000 pekerja gig serta anak muda dalam perhimpunan di Tanjung Aru, malam tadi dan menerangkan mengenai Akta Pekerja Gig 2025.
"Melalui pengiktirafan ini, mereka akan menerima perlindungan asas secara automatik termasuk keselamatan sosial, standard pekerjaan munasabah dan saluran aduan yang lebih jelas.
"Para pekerja gig yang hadir menyatakan rasa gembira dan lega kerana akhirnya wujud satu rangka undang-undang yang memahami cabaran sebenar mereka," katanya.
Hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 membabitkan 73 kerusi DUN dipertandingkan, ditetapkan pada 29 Nov manakala undi awal pada 25 Nov ini.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.
N22: TANJUNG ARU: SABAH: 21,264
1. Datuk Loh Ee Eng (PBK)
2. Hiew Choon Yu (STAR)
3. Datuk Wong Hong Jun (Warisan)
4. Yee Wee Ping (PIS)
5. Dennison R Indang (UPKO)
6. Mohamed Zaim Ansawi (Bebas/IND)
7. Ritchie Jay Cheng (Bebas/IND)
8. Suhaimi Buang (PN-Bersatu)
9. Datuk Chan Foong Hin (PH-DAP)
(2020: Junz Wong Hong Jun: Warisan Plus-Warisan: Maj: 3,147)
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

