[TERKINI] PRN Sabah: 'Difitnah, tidur di lokap pada hari lahir' - Shafie imbau erti perjuangan Warisan
![[TERKINI] PRN Sabah: 'Difitnah, tidur di lokap pada hari lahir' - Shafie imbau erti perjuangan Warisan [TERKINI] PRN Sabah: 'Difitnah, tidur di lokap pada hari lahir' - Shafie imbau erti perjuangan Warisan](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/81763022372_tbShafieApdalAstr.jpg)
Shafie berkata segala pengorbanan itu bukan untuk merebut jawatan atau kedudukan, tetapi demi memastikan Sabah tidak terus tertinggal dalam struktur Persekutuan. -Gambar Astro AWANI
KOLOMBONG: “Saya pernah tidur di lantai lokap, tanpa bantal. Hari itu saya belum makan, saya puasa. Isteri saya masak, tetapi makanan itu tidak dibenarkan masuk. Itu hari jadi saya. Namun saya reda.”
Ringkasan AI
- Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengimbau pengalaman sukar dalam kerjaya politik, termasuk ditahan tanpa bantal dan makanan, namun tekadnya untuk memperjuangkan hak rakyat Sabah tetap teguh.
- Shafie menegaskan bahawa perjuangan Warisan bukan untuk tujuan kepentingan peribadi atau jawatan, tetapi demi kepentingan masa depan penduduk Sabah dan memastikan negeri itu tidak terpinggir dalam struktur Persekutuan.
- Warisan ditegaskan bukan untuk tujuan politik pragmatik, tetapi sebagai gerakan untuk menegakkan hak Sabah berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963, dengan menekankan kepentingan wilayah itu sebagai pengasas Malaysia yang unik dalam konteks hak dan perlembagaan.
Shafie berkata, pengorbanan itu bukan untuk merebut jawatan atau kedudukan, tetapi demi memastikan Sabah tidak terus tertinggal dalam struktur Persekutuan.
“Perjuangan ini bukan tentang saya, ini demi masa depan empat juta rakyat Sabah. Demi anak-anak kita.
"Bukan demi jawatan menteri, bukan demi pangkat,” katanya ketika berucap sebelum mengumumkan calon Warisan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada Rabu.
Shafie menegaskan, Warisan lahir bukan untuk ‘membeli’ wakil rakyat atau berebut kerusi seperti dituduh oleh sesetengah pihak, sebaliknya diilhamkan sebagai gerakan untuk mempertahankan hak Sabah berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata Sabah merupakan antara wilayah yang membentuk Malaysia, dan segala haknya tidak boleh disamakan dengan negeri-negeri di Semenanjung.
“Sabah bukan negeri biasa. Kita wilayah pengasas Malaysia. Hak kita, termasuk 40 peratus hasil negeri, bukan permintaan baharu. Ini termaktub dalam Perlembagaan.
“Kita tidak minta lebih daripada hak kita. Kita cuma mahu apa yang dijanjikan,” tegasnya.
Shafie turut menyentuh sejarah perjuangan tokoh-tokoh Sabah yang berunding dengan pihak British sebelum pembentukan Malaysia, dan menyeru agar generasi hari ini meneruskan legasi itu dengan semangat penyatuan.
Beliau yang merupakan penyandang DUN Senallang dan bakal mempertahankan kerusi itu pada PRN kali ini turut mengkritik budaya politik mengejar kerusi tanpa memikirkan rakyat.
“Warisan tidak dibina atas nafsu. Kerusi bukan keutamaan kami, yang penting adalah khidmat, amanah dan maruah rakyat Sabah.
“Kalau perjuangan kita kerana jawatan, kerana kuasa, kita sudah lama kalah… tetapi kita berdiri kerana rakyat percaya kepada kita,” katanya merujuk kepada parti-parti yang keluar gabungan hanya kerana tidak mencapai kata sepakat mengenai agihan kerusi.
Shafie turut menyeru supaya penyokong dan pimpinan Warisan mempamerkan kesatuan menjelang PRN kali ini, menyifatkan ia pilihan raya paling kritikal buat masa depan negeri.
“PRN ini bukan untuk 73 calon semata-mata. Ini tentang masa depan Sabah. Kalau kita bersatu, kita menang. Kalau kita berpecah, Sabah yang rugi,” ujarnya.
Menjelang hari mengundi pada 29 November ini, Warisan mengumumkan akan bertanding di kesemua 73 kerusi dengan menampilkan lebih 60 peratus muka baharu, manakala sekitar 30 peratus adalah calon muda.
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Apakah yang menginspirasikan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk terus berjuang dalam politik? A: Pengorbanan dan ujian yang dialami, termasuk difitnah dan ditahan tanpa asas, menginspirasikan beliau untuk memperjuangkan hak rakyat Sabah.
- Q: Mengapakah Shafie Apdal menegaskan bahawa Warisan bukan dibina untuk tujuan merebut jawatan politik? A: Shafie menegaskan bahawa Warisan dibina bukan untuk tujuan merebut jawatan politik, tetapi untuk mempertahankan hak Sabah berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963.
- Q: Apakah yang dimaksudkan oleh Shafie Apdal apabila beliau menyatakan Sabah bukan negeri biasa? A: Shafie Apdal menyatakan bahawa Sabah bukan negeri biasa kerana merupakan wilayah pengasas Malaysia, dengan hak-hak tersendiri yang termaktub dalam Perlembagaan.
- Q: Mengapakah Shafie Apdal mengkritik budaya politik mengejar kerusi tanpa memikirkan rakyat? A: Shafie Apdal mengkritik budaya politik mengejar kerusi tanpa memikirkan rakyat kerana beliau percaya bahawa khidmat, amanah, dan maruah rakyat Sabah sepatutnya menjadi keutamaan.
- Q: Apakah yang Warisan tekankan menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17? A: Warisan menekankan kesatuan dalam parti sebagai kunci kejayaan, serta menekankan bahawa Pilihan Raya Negeri ini bukan sekadar mengenai calon, tetapi juga tentang masa depan Sabah.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

