[TERKINI] PRN Sabah: Jecky Chan mahu jalan di Kg Radap dibaik pulih
![[TERKINI] PRN Sabah: Jecky Chan mahu jalan di Kg Radap dibaik pulih [TERKINI] PRN Sabah: Jecky Chan mahu jalan di Kg Radap dibaik pulih](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/61764129318_TBPRNSabah.jpg)
Jecky berkata sejak dia menetap di kampung itu pada 2010, keadaan jalan ketika itu sangat teruk dan sempit, sehinggalah kerja baik pulih akhirnya dilaksanakan pada 2018. - Foto Astro AWANI
KUDAT: Penduduk Kampung Radap berharap kerajaan baharu yang bakal dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) ke-17 nanti akan memberi keutamaan kepada usaha membaik pulih dan menaik taraf jalan utama di kampung berkenaan, yang disifatkan antara laluan mencabar di kawasan pedalaman Bengkoka.
Ringkasan AI
- Penduduk Kampung Radap berharap kerajaan baharu memberi keutamaan kepada peningkatan jalan utama, yang masih berbatu dan tanah merah, bagi memudahkan akses penduduk dan pelajar ke sekolah.
- Infrastruktur asas, terutamanya jalan raya, perlu diperbaiki untuk memastikan penduduk luar bandar tidak terus ketinggalan dalam pembangunan, menurut penduduk Lifri Zakaria.
- Calon Warisan DUN Bengkoka, Fauziah Tun Fuad Stephens, menegaskan perlunya penyelesaian khusus terhadap isu infrastruktur asas seperti jalan raya di kawasan pedalaman untuk memajukan penduduk setempat.
"Masalah kami dulu di sini, dari segi jalan raya. Orang-orang di sini tidak tinggal di sini dulu. Mereka tinggal di luar supaya dekat dengan sekolah kerana keadaan jalan.
"Kita jalan kaki untuk hantar anak ke sekolah... Perlukan satu setengah jam untuk sampai di sana (sekolah). Maksudnya jam lima pagi, perlu jalan keluar dari kampung ini.
"Semasa pentadbiran Parti Warisan pada 2018, kami telah menikmati jalan yang lebih bagus sampai ke
hari ini, dan ia diselenggaralah setiap tahun," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Mengimbau keadaan sebelum ini, Jecky berkata ada yang terpaksa berjalan kaki untuk memasuki kawasan kampung, kerana perjalanan dengan pacuan empat roda akan mengambil masa yang lebih lama disebabkan jalan sempit.
"Jika bertolak jam tujuh pagi, kami hanya boleh sampai ke simpang utama di Mangkapon sekitar tengah hari. Perjalanan yang sepatutnya singkat menjadi sangat lama kerana keadaan jalan yang rosak teruk," ujarnya lagi.

Lifri ditemui Astro AWANI di Kg Radap, baru-baru ini - Foto AWANI
Sementara itu, seorang lagi penduduk Kampung Radap, Lifri Zakaria, 41, turut berharap kerajaan yang bakal dibentuk dapat memberikan tumpuan khusus kepada penambahbaikan infrastruktur asas, terutamanya jalan raya, bagi memastikan penduduk luar bandar tidak terus ketinggalan.
"Ini dulu jalan kayu balak... selepas itu tahun 2018, ia telah ditambah baik oleh kerajaan Warisan ketika itu, ada tambah batu...
"Masuk di sini agak susah... Hasil pertanian kadang-kadang kami terpaksa pikul bawa ke luar. Kalau tidak larat, kami sewa kereta yang besar untuk mengeluarkan hasil pertanian tetapi perlu bayar.
"Sebenarnya kami sangat-sangat mengharap penambahbaikan khususnya di kawasan yang berbukit yang sukar dilalui oleh kenderaan kecil," kongsinya.
Reaksi calon DUN Bengkoka
Calon Warisan DUN Bengkoka, Fauziah Tun Fuad Stephens menegaskan isu infrastruktur asas termasuk jalan raya perlu diberikan perhatian dan penyelesaian khusus bagi memastikan pembangunan penduduk di kawasan pedalaman.
Menurut beliau, pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, dan kerana itu perjuangan menuntut 40 peratus hasil Sabah menjadi keutamaan Warisan.
"Jika kami mendapat mandat, perkara ini (jalan raya) akan mengambil masa. Ia tidak akan dapat diselesaikan dalam sekelip mata.
"Apabila kami mengambil alih kerajaan, kita tidak boleh katakan dalam tempoh enam bulan akan ada elektrik, atau enam bulan lagi air akan pulih, dan sebagainya.
"Jalan raya sepatutnya menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan," katanya.
Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) DUN Bengkoka, Datuk Harun Durabi berkata beliau telah mengenal pasti lima jalan utama yang memerlukan perhatian segera dan perlu diutamakan dalam perancangan pembangunan kawasan itu.
Antara jalan tersebut ialah Mapan-Mapan dengan jarak sekitar 35 kilometer (km); Jalan Pantai; Jalan Maliau; Jalan Mangkapon; serta Jalan Pinapak-Dandun.
Selain jalan utama, beliau turut memberi tumpuan kepada jalan-jalan pertanian, yang merupakan nadi penting kepada pendapatan penduduk tempatan.
"Saya sudah mengenal pasti ada lima jalan yang perlu diutamakan oleh kerajaan. Selain daripada itu, saya juga menumpu perhatian sepenuhnya kepada jalan-jalan pertanian yang menjadi sumber yang boleh meningkatkan ekonomi rakyat.
"Rakyat di kawasan Bengkoka rata-ratanya memiliki tanah persendirian. Tetapi oleh kerana keadaan jalan yang tidak mengizinkan, maka tanah-tanah tersebut terbiar.
"Contohnya, ada yang mengusahakan kelapa sawit. Bila musim hujan, mereka tak boleh bawa keluar hasil pertanian," jelasnya.
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

