[TERKINI] PRN Sabah: Rakyat merungut harga tambang mahal ke Semenanjung - Bastien
![[TERKINI] PRN Sabah: Rakyat merungut harga tambang mahal ke Semenanjung - Bastien [TERKINI] PRN Sabah: Rakyat merungut harga tambang mahal ke Semenanjung - Bastien](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/41764241756_PRNSabahDUNSulam.jpg)
Bastien berkempen bersama calon BN DUN Sulaman, Dr Shahnon Rizal Thaijuddin hari ini - Foto AWANI
TUARAN: Rungutan rakyat Sabah berhubung tambang penerbangan yang tinggi untuk ke Semenanjung, khususnya melibatkan syarikat tambang rendah perlu diambil perhatian pihak berkenaan.
Jelas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Segamat, Datuk Bastien Onn, perkara itu disuarakan kepadanya ketika turun berkempen bersama calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, Dr Shahnon Rizal Thaijuddin hari ini.
Bastien berkata sudah tiba masanya Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) campur tangan bagi memastikan harga tiket dapat diturunkan demi manfaat rakyat.
"AirAsia kononnya syarikat tambang rendah, tetapi harganya kini setanding Malaysia Airlines (MAS). Lapangan terbang pula dibina kerajaan, takkan harga tidak boleh dikawal untuk kemudahan rakyat. Masa untuk melihat perkara ini, jangan pekakkan telinga," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Bastien turut menggesa pihak berkuasa memastikan harga tiket AirAsia berada pada kadar jauh lebih rendah daripada MAS selaras dengan konsep syarikat tambang murah.
Sebelum ini, AirAsia menawarkan promosi tambang tetap RM299 sehala termasuk semua caj bagi penerbangan dari Semenanjung ke Sabah bermula 26 hingga 28 Nov sempena PRN Sabah.
Syarikat penerbangan itu dalam kenyataan memaklumkan, tawaran khas berkenaan melibatkan lebih 4,300 tempat duduk merangkumi lapan laluan dan 24 penerbangan destinasi domestik utama ke Sabah dan tempahan dibuat
Dalam perkembangan lain, Bastien yang kini berada di Sabah untuk membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) berkata, proses kempen memasuki fasa akhir dengan pengundian awal anggota keselamatan telah selesai.
Menurutnya, isu asas yang dibangkitkan pengundi termasuk bekalan air, infrastruktur dan akses kepada rawatan perubatan masih berlarutan.
"Penduduk di sini masih menghadapi pelbagai masalah asas, mungkin kerana pemimpin lama merasakan mereka tetap akan menang tanpa membawa perubahan nyata," katanya.
Program turun padang itu melibatkan sekitar 1,200 pengundi, dengan fokus mendengar keluhan penduduk yang sejak sekian lama berdepan isu asas termasuk bekalan air, infrastruktur dan akses kepada perkhidmatan kesihatan.
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

