GERIK: Masih terlalu awal untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas memutuskan tiada penjajaran baharu melibatkan parti politik lain untuk Perikatan Nasional (PN) menubuhkan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, politik adalah sesuatu yang dinamik dan apa-apa sahaja boleh berlaku.

"Politik ini sangat dinamik. Suatu ketika, Pas berkelahi dengan UMNO selama 60 tahun, tiba-tiba kita boleh buat Muafakat Nasional (MN). Baik dan elok pula duduk bersama.

"Bila sampai masanya nanti, ia akan berubah segala-gala. Kalau orang tanya saya, saya jawab ikut skrip Tuhan sahaja. Itu lagi senang," katanya dalam sidang akhbar selepas program Mahabbah Jalinan Kasih di Maahad Tahfiz dan Kemukjizatan Al-Quran di Kampung Ulu Kenderong, di sini hari ini.

Pada Rabu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan bersama berkata, mereka menolak sebarang bentuk 'penjajaran baharu' untuk menubuhkan kerajaan pasca-PRU15 terutamanya melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya.

Menurut mereka, Bersatu dan Pas juga akan menubuhkan Jawatankuasa Permesyuaratan di peringkat Pusat bagi merangka strategi dan hala tuju parti untuk menghadapi PRU15 termasuk rundingan pengagihan kerusi.

Sementara itu, mengulas kenyataan bersama Bersatu dan Pas Perak bahawa PN Perak telah mengenal pasti kerusi-kerusi yang berpotensi untuk ditandingi di peringkat negeri pada PRU15, Saarani berkata, ia bukan sesuatu yang memeranjatkan.

Katanya, kolaborasi dua parti politik itu termasuk membabitkan isu pengagihan kerusi untuk ditandingi pada pilihan raya umum nanti adalah perkara biasa untuk dibincangkan.

"Kita faham yang Pas dan Bersatu berkolaborasi dalam PN, jadi betullah yang mereka akan agihkan kerusi.

“Begitu juga kita di Barisan Nasional (BN), kita juga akan agihkan kerusi dengan parti komponen lain," katanya.

Tambah beliau, dakwaan bahawa UMNO akan kehilangan banyak kerusi sekiranya bergerak solo, Saarani yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Perak berkata, ia hanya perang psikologi.

"Jika ditanya kepada musuh UMNO, memang mereka akan cakap begitu, contohnya orang main bola, dia mesti cakap pasukan lawan tidak kuat.

"Bagaimanapun, kita tiada kebimbangan mahupun kegusaran dan menyerahkan kepada Allah yang merupakan sebaik-baik perancang," katanya.