Dewan Ulamak PAS hari ini menyokong penuh pendirian Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa Selangor perlu mengekalkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besarnya.

"Oleh itu, pendirian Presiden tersebut adalah berasaskan keputusan yang telah disepakati bahawa tiada perubahan MB Selangor dan Dewan Ulamak PAS Pusat menegaskan tiada sebarang alasan Syarie yang kukuh dikemukakan sehingga kini untuk mewajarkan penukaran Menteri Besar Selangor dan beliau patut dibenarkan meneruskan amanah sehingga ke akhir penggal," Pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Ahmad Yakob.

Menurutnya, kenyataan Hadi adalah berdasarkan keputusan yang dibuat PAS berkait dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang yang menegaskan bahawa isu Menteri Besar Selangor tidak berbangkit.

Selain itu, kata Ahmad Yakob, Dewan Ulamak juga mendapati Abdul Khalid tidak melakukan sebarang pengkhianatan terhadap amanah yang diberikannya sebagai seorang pemimpin sama ada dari segi penyelewengan ataupun rasuah.

"Sebarang usaha menukar MB Selangor tanpa persetujuan bersama tiga komponen parti, PAS, PKR dan DAP sehingga menimbulkan kekalutan di kalangan rakyat bawahan hendaklah dielakkan," tambahnya.

Abdul Hadi pada Khamis mempertahankan Abdul Khalid Ibrahim untuk kekal sebagai Menteri Besar Selangor berikutan beliau tidak pernah khianat dalam menjalankan amanah kepada rakyat.

Menurut Abdul Hadi, hasil penelitian dan kaji selidik dilakukan beliau sendiri melalui beberapa pihak sama ada dalam PAS mahupun pihak luar, didapati majoriti rakyat Selangor masih bersetuju Abdul Khalid dikekalkan sebagai menteri besar, namun bergantung kepada perkenan Sultan Selangor.

PKR pada Selasa lalu bagaimanapun telah bersetuju untuk memilih Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor yang baharu menggantikan Abdul Khalid.

Perkara tersebut telah diumumkan oleh Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mesyuarat tergempar Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu.