Skip to main content

Politik

Tiada had masa bagi Nurul Izzah bercuti - Fuziah

uti Nurul Izzah tiada had masa, bercuti selepas kongres selesai - Fuziah
Fuziah (foto) menjelaskan keputusan berkenaan dibuat bagi memberi ruang kepada Nurul Izzah yang bakal melanjutkan pengajiannya tidak lama lagi. -Gambar Astro AWANI
Advertisement

AYER KEROH: Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak menetapkan sebarang had masa bagi tempoh cuti yang diambil Timbalan Presidennya, Nurul Izzah Anwar.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh menjelaskan keputusan berkenaan dibuat bagi memberi ruang kepada Nurul Izzah yang bakal melanjutkan pengajiannya tidak lama lagi.

Menurut beliau, Nurul Izzah akan memulakan tempoh bercutinya sebaik sahaja selesai menyempurnakan keseluruhan tugas dan agenda sepanjang Kongres Nasional PKR 2026 yang sedang berlangsung.

“Setakat ini, kita tidak memberi had masa kepada Timbalan Presiden untuk bercuti kerana beliau ingin menyambung pelajaran.

"Insya-Allah kita sedia (menerima beliau kembali) apabila beliau bersedia untuk meneruskan tugas.

“Timbalan Presiden akan bercuti selepas kongres, iaitu selepas menyelesaikan tugas sewaktu kongres termasuk perasmian Wanita dan AMK serta penggulungan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Bersama Kongres Nasional Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, pada Jumaat.

Sebelum ini, Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh memohon mengundurkan diri daripada jawatan berkenaan selepas pertimbangan panjang bagi membolehkannya mengorak langkah baharu meneruskan pengajian lanjutan berteraskan khidmat dan bakti tanpa semestinya terikat dengan dunia politik.

Bagaimanapun, Izzah menegaskan keputusan berkenaan tidak mengubah pendiriannya untuk terus kekal sebagai anggota PKR dan memberikan dokongan kepada perjuangan parti ke arah Malaysia yang lebih baik di bawah pimpinan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama barisan kepemimpinan serta akar umbi.

Dalam pada itu, mengulas mengenai perjalanan Kongres Nasional 2026, Fuziah memaklumkan perhimpunan tiga hari itu menjadi medan terbaik bagi menyemarakkan semula semangat perjuangan serta mengukuhkan asas parti dalam kalangan perwakilan dan pemerhati.

Jelas beliau, kongres tahun ini menyaksikan kehadiran seramai 2,594 perwakilan yang layak serta 1,773 pemerhati berdaftar, selain turut disertai perwakilan antarabangsa daripada 25 kedutaan asing.

“Tahun ini kita turut menambah empat lagi wakil khas untuk sesi perbahasan usul iaitu bagi kategori veteran, minoriti, Orang Asal, dan wakil Borneo di samping 14 wakil perwakilan negeri,” katanya.

Tambah Fuziah, sebanyak empat usul utama daripada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) akan dibahaskan merangkumi usul ekonomi dan kestabilan politik, kesihatan, serta usul memperkasa parti.
 

Must Watch Video

Advertisement