PUTRAJAYA: Tidak ada isu yang berlaku dalam UMNO, demikian jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO ketika diminta mengulas mengenai khabar angin berlaku pergolakan dalam parti itu.

Jelas Ismail Sabri, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) di Menara Dato Onn pada Sabtu lalu berlangsung dalam suasana mesra.

"Tak, tak ada apa, kita bincang dalam mesyuarat Majlis Tertinggi malam itu (Sabtu) dalam keadaan suasana mesra dan sebagainya.

"Tidak ada isu, kadang-kadang orang luar melihat lain daripada apa yang berlaku di dalam," jelasnya.

Mengulas mengenai khabar angin kononnya beliau akan dipecat oleh UMNO, tegas Ismail Sabri, tiada isu mengenai perkara itu.

Sebaliknya kata Ismail Sabri, perbezaan pandangan adalah perkara biasa dan diraikan oleh UMNO.  

"Tidak ada apa-apa isu dalam UMNO, perbezaaan pandangan adalah perkara biasa, itu diraikan," jelasnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri  Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-18 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Selasa.

Sabtu lalu, Ismail antara yang hadir dalam mesyuarat MKT UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Antara dibincangkan dalam mesyuarat itu, solidariti memperkukuhkan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) selain usaha menstabilkan ekonomi dan negara.