KUCHING: Tiada keperluan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Lintang susulan tindakan See Chee How keluar daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Jelas Speaker DUN Sarawak Tan Sri Mohd Asfia Awang Nasar kuasa untuk melucutkan keahlian DUN melalui Perkara 17(7)(a) Perlembagaan Negeri Sarawak tidak terpakai kepada situasi Chee How.

“Ia seperti menutup pintu kandang selepas kuda itu lari. Sehubungan itu saya tidak dapat menentukan bahawa YB See Chee How hilang kelayakan keahlian Dewan Undangan Negeri Sarawak di bawah Perkara 17(7)(a) Perlembangan Negeri.

“Oleh itu kerusi N11 Batu Lintang tidak kosong dan tiada pilihan raya kecil diadakan,” ujarnya dalam satu sidang media khas di DUN Sarawak, di sini pada Isnin.

Kenyataan itu sebagai reaksi kepada langkah Presiden PSB Datuk Seri Wong Soon Koh menuntut tindakan berkaitan menerusi surat aku janji.

Jelas Asfia, pihaknya ada menerima surat daripada Soon Koh pada 15 Ogos 2022 meliputi surat aku janji yang didakwa ditandatangani oleh Chee How bertarikh 3 Disember 2021.

Difahamkan surat aku janji itu melibatkan persetujuan Chee How meletak jawatan sebagai wakil rakyat sekiranya keluar parti selepas menenangi kerusi Batu Lintang atas tiket PSB.

“Bahasa mudah perkara 17(7)(a) bermaksud untuk aku janji itu terpakai ia mesti diberikan sebelum wakil rakyat itu meletak jawatan daripada parti di mana dia bertanding untuk pilihan raya.

“Dalam kes ini saya tidak ada dan tidak pernah menerima sebarang aku janji secara bertulis daripada See Chee How. Surat aku janji yang dikatakan ditandatangani olehnya telah dihantar oleh Presiden PSB ke pejabat saya pada 15 Ogos 2022 iaitu tiga hari selepas saya menerima surat daripada  See Chee How bahawa beliau telah meletak jawatan daripada Parti Sarawak Bersatu berkuat kuasa serta merta,” jelasnya.

Tambahnya, Perkara 17(7)(a) Perlembagaan Sarawak terpakai jika seseorang itu secara sukarela memberi aku janji secara bertulis kepada Speaker bahawa dia tidak akan meletak jawatan keahliannya dalam parti yang dia bertanding semasa dilantik menjadi ADUN.