KUALA LUMPUR:Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, tiada tempat di negara ini untuk pemimpin parti tertentu dalam mengamalkan politik perkauman mahupun agama.

Sebaliknya tegas beliau, perpaduan harus dijadikan landasan reformasi menerusi penglibatan demokrasi yang diwakili semua pihak.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, penglibatan tersebut meliputi pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira usia, geografi, (sikap) liberal mahupun konservatif melalui sistem berasaskan nilai pemerintahan yang mengatasi bangsa dan agama.

"Landskap politik di negara ini bukan sahaja memerlukan penetapan semula, malah perlu diperbaharui untuk jangka masa panjang.

"Ini kerana, negara mengalami kemerosotan ekonomi dan krisis kewangan sejak 1998 lagi yang terhalang oleh toksik-toksik politik dan lebih malang lagi, institusi kita semakin berkompromi.

"Sehubungan itu, naratif Malaysia yang baharu amat diperlukan dengan mencakupi beberapa tonggak utama seperti politik, ekonomi dan sosial bermula daripada pemerintahan serta akauntabiliti sehingga kepada pendidikan, teknologi, tahap kesihatan dan mobiliti sosial," katanya ketika berucap dalam Regional Outlook Forum 2021: Power, Policy and Politics in a Post- COVID World yang dilakukan secara maya.



Mohd Shafie merupakan salah seorang speaker yang menyampaikan hujah dari pandangan ahli politik pada forum tersebut dengan topik 'Malaysia - Cabaran dalaman dan luaran demi kestabilan'.

Dalam pada itu, Mohd Shafie turut mengingatkan kepada semua pihak agar melangkaui politik peribadi yang ada pada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kita harus memperkasakan gerakan seluruh rakyat Malaysia untuk bersatu menentang parti-parti elit lama yang dikuasai oleh kaum lelaki dengan memberi ruang kepada semua orang untuk mengetengahkan suara mereka dan menonjolkan potensi masing-masing.

"Rakyat di negara ini perlu memutuskan masa depan politik di negara ini dan kita juga harus melalui saat-saat sukar ini dengan menghentikan idea-idea lama demi memberi peluang kepada idea baharu yang lebih segar dalam membentuk Malaysia pasca 2020.

"Marilah kita meraikan dan bangkit dengan sesuatu yang baharu. Marilah kita tetapkan semula demi kebaikan Malaysia," ujarnya.