KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan bahawa bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan dipanggil ke Bukit Aman untuk memberi keterangan berhubung kemelut pentadbiran negeri itu.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, setakat pengetahuannya tiada keperluan untuk mereka dipanggil ke Bukit Aman.
“Saya dengar, saya dengar tetapi tidak benar. Perkara itu tidak benar dan tidak ada keperluan untuk dipanggil.
“Tetapi kalau Bukit Aman mahu mendapatkan keterangan, tentunya Exco atau manta Exco yang ada tidak mempunyai masalah untuk memberi keterangan di Seremban atau di mana-mana tempat di Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media ketika menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan ke-18 Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyerahkan penyelesaian berhubung kemelut berkenaan kepada pihak berkaitan termasuk Majlis Raja-Raja dengan mengambil kira keunikan sistem pemerintahan beraja dan adat di Negeri Sembilan.
“Saya serahkan soal ini kepada pihak Majlis Raja-Raja kerana tentunya soal Negeri Sembilan berbeza dengan soal negeri-negeri yang lain.
“Kita harus menghormati institusi raja dan adat di Negeri Sembilan,” katanya.
Mengulas mengenai saranan supaya darurat diisytiharkan bagi menangani kemelut berkenaan, Ahmad Zahid berkata, langkah itu tidak perlu dipertimbangkan kerana keadaan keselamatan di negeri tersebut kekal terkawal.
“Untuk pilihan bagi pengisytiharan darurat, saya tidak fikir ia harus menuju ke arah itu sebab tidak ada sebarang kekecohan dari segi keamanan di Negeri Sembilan.
“Tidak perlu pun perkara itu untuk difikirkan walaupun di hujung telinga kita juga mendengar saranan berkenaan,” katanya.
Menurutnya, masih terdapat pilihan lain yang lebih baik bagi menyelesaikan kemelut berkenaan tanpa perlu mengambil langkah mengisytiharkan darurat.
“Tentu ada pilihan yang lebih baik selain daripada mengisytiharkan darurat dan menubuhkan Majlis Darurat di Negeri Sembilan,” katanya lagi.