Skip to main content

Politik

Tidak lagi bersama, PH-BN Melaka sah ‘bercerai’

PH Melaka
Keputusan itu dimuktamadkan dalam mesyuarat kepimpinan PH Melaka bersama lima ADUN gabungan berkenaan yang diadakan hari ini bagi membincangkan perkembangan semasa politik negeri.
Advertisement

MELAKA: Pakatan Harapan (PH) Melaka secara rasmi mengesahkan keputusan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada blok gabungan itu menarik diri daripada pentadbiran Kerajaan Negeri susulan pendirian menolak pindaan Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka bagi mewujudkan jawatan ADUN Lantikan.

Keputusan itu dimuktamadkan dalam mesyuarat kepimpinan PH Melaka bersama lima ADUN gabungan berkenaan yang diadakan hari ini bagi membincangkan perkembangan semasa politik negeri.

Kenyataan bersama itu ditandatangani Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari; Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Melaka, Adam Adli Abdul Halim; Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong; dan Pengerusi AMANAH Melaka, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat

Menurut kenyataan itu, tindakan berkenaan selaras dengan prinsip serta amalan demokrasi kerana Exco atau ADUN yang tidak lagi menyokong usul kerajaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak wajar terus menikmati keistimewaan dan kemudahan sebagai sebahagian daripada kerajaan negeri.

“Penarikan diri daripada Kerajaan Negeri ini adalah selaras dengan prinsip dan amalan demokrasi bahawa apabila seseorang Exco atau ADUN dari Kerajaan Negeri tidak lagi menyokong sesuatu usul oleh Kerajaan Negeri di dalam Dewan Undangan Negeri, adalah tidak layak lagi bagi Exco atau ADUN tersebut menerima keistimewaan dan kemudahan Kerajaan Negeri.

“Mesyuarat turut memutuskan semua Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) daripada gabungan berkenaan akan melepaskan jawatan masing-masing berkuat kuasa pada 31 Julai ini,” menurut kenyataan itu.

Dalam masa sama, PH Melaka merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Kerajaan Negeri serta seluruh penjawat awam negeri atas kepercayaan dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh mereka berada dalam pentadbiran.

“Lima ADUN PH juga akan terus menumpukan perhatian dan melipat gandakan usaha serta khidmat buat rakyat negeri Melaka tanpa sebarang diskriminasi politik sehingga tamat mandat yang diberikan,” katanya.

Kenyataan itu sekali gus mengesahkan pendirian rasmi PH Melaka selepas beberapa hari tercetus polemik susulan kelulusan Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan Negeri Melaka yang membolehkan sehingga tujuh ADUN Lantikan diwujudkan di negeri itu.

PH Melaka pada Selasa mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri sebagai bantahan terhadap kelulusan Rang Undang-Undang Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang memperkenalkan pelantikan ADUN lantikan.

Keputusan itu menyaksikan wakil PH membabitkan empat ADUN DAP dan seorang wakil Amanah melepaskan semua jawatan dalam kerajaan negeri termasuk jawatan Exco, Timbalan Exco, Timbalan Speaker serta lantikan berkaitan pentadbiran negeri.

Must Watch Video

Advertisement