Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Simsudin Sidek mengumumkan peletakan jawatannya, berkuatkuasa pada 11 September lalu kerana tidak berpuas hati dengan agihan kerusi untuk parti berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Simsudin pada Rabu lalu memaklumkan parti berkenaan akan bertanding 14 kerusi, namun, PKR diumum hanya akan bertanding tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Saya akur dan hormati keputusan yang telah di buat oleh kepimpinan tertinggi parti dan dengan penuh rasa redha ingin memulangkan kembali amanah yang telah diberikan oleh PKR Sabah selama ini.

“Saya dengan ini meletakkan jawatan saya sebagai Ketua Penerangan PKR Sabah berkuatkuasa serta merta pada hari ini, 11 Sept 2020. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh ahli dan pimpinan tertinggi PKR Sabah kerana telah banyak memberi tunjuk ajar dan kepercayaan kepada saya ketika melaksanakan tugas,” tulisnya di akaun Facebook miliknya.

Katan beliau, pengagihan kerusi yang lebih adil selayaknya diberikan kepada PKR disebabkan pertambahan ketara bilangan ahli PKR Sabah dan pertambahan kerusi Dun pada PRN Sabah akan datang.

“Saya berpendapat pertambahan ketara bilangan ahli PKR Sabah dan pertambahan kerusi Dun pada PRN Sabah yang akan datang menjadi asas justifikasi untuk selayaknya PKR Sabah mendapat pengagihan kerusi yang lebih adil,” tulisnya lagi.

Jelasnya lagi, biarpun timbul rasa tidak puas hati dengan pengagihan kerusi itu, pihak kepimpinan PKR bersetuju dengan jumlah kerusi terbabit, bagi mengelakkan pertembungan dengan sekutunya pada hari penamaan calon.

Oleh itu, Simsudin berkata, beliau menghormati keputusan pucuk pimpinan namun mengambil keputusan untuk meletak jawatan sebagai ketua penerangan PKR Sabah.

Bagaimanapun, Simsudin berkata beliau tetap akan setia kepada parti berkenaan.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya akan terus taat setia bersama PKR yang telah saya sertai selama lebih 20 tahun dan akan kekal memegang jawatan Ketua Cabang PKR Labuan yang dipilih oleh anggota parti dan akan terus melaksanakan tanggungjawab itu dengan sebaik mungkin.

“Saya juga ingin merakamkan terima kasih kepada seluruh ahli dan MPN Sabah yang telah memberi sepenuh kerjasama kepada saya sepanjang saya melaksanakan amanah sebagai ketua penerangan,” katanya yang akan menumpukan lebih banyak masa untuk aktiviti parti di peringkat cabang," ujar beliau lagi.