MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memberi bayangan bahawa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka bakal dilakukan dalam masa terdekat, sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Perkara itu dinyatakan beliau ketika menghadiri program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, apabila memaklumkan tempoh untuk pembubaran DUN kini hanya berbaki "dua kali Jumaat."
"Saya kata hari itu empat kali Jumaat lagi, tetapi sekarang dah tinggal dua kali Jumaat sahaja," katanya pada majlis minum pagi dan sesi ramah mesra bersama penduduk Kampung Bertam Ulu pada Isnin.
Turut hadir pada program berkenaan ialah EXCO Kanan Melaka merangkap Penyelaras Pembangunan DUN Sungai Udang, Datuk Rais Yasin.
Kenyataan itu dibuat selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan menggesa supaya pembubaran DUN Melaka dipercepatkan bagi memberi ruang kepada rakyat memilih kerajaan negeri yang baharu menerusi PRN.
Menurut Ahmad Zahid, proses berkenaan tidak seharusnya ditangguhkan terlalu lama kerana rakyat, khususnya golongan muda, perlu diberikan peluang menentukan hala tuju dan masa depan negeri itu.
Mengulas mengenai persiapan menghadapi pilihan raya, Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka mengesahkan terdapat rundingan dengan beberapa gabungan parti politik bagi membentuk kerjasama menjelang PRN.
Beliau bagaimanapun menegaskan, sebarang keputusan berkaitan kerjasama politik akan dibuat berdasarkan kepentingan perjuangan parti dan bukannya atas dasar hubungan persahabatan.
"Mereka datang bertanya bila nak bersama. Demi perjuangan, saya tidak akan membuat keputusan atas sifat kawan, tetapi atas sifat politik demi perjuangan membela dan membina semula parti yang selama ini dipijak dan dihina," katanya.
Dalam ucapannya, Ab Rauf turut mengibaratkan Melaka sebagai "anak dara cantik" yang menjadi perhatian pelbagai pihak untuk menjalinkan kerjasama politik menjelang pilihan raya negeri akan datang.
Perkembangan terbaharu itu menguatkan lagi spekulasi bahawa Melaka bakal menjadi antara negeri terawal mengadakan PRN dalam masa terdekat susulan petunjuk yang diberikan kepimpinan negeri dan parti.