JOHOR BAHRU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan pertemuan tertutup dengan Biro Politik UMNO Johor di kediaman rasmi Menteri Besar Johor di Saujana di sini pada Jumaat.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO dilihat memasuki pekarangan kediaman rasmi berkenaan pada jam 2.15 petang sebelum meninggalkan kawasan tersebut pada jam 3.50 petang.

Sementara itu media pula tidak dibenarkan masuk.

Selain Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad yang juga Menteri Besar Johor, turut hadir Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Setiausaha Kerja UMNO Johor, Pandak Ahmad.

Sebelum mesyuarat tersebut, Ismail Sabri menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Pasir Pelangi di sini.

Pertemuan tersebut dikongsi menerusi satu kenyataan ringkas di Facebook rasmi Sultan Ibrahim yang memaklumkan Ismail Sabri tiba di Istana Pasir Pelangi kira-kira jam 10.45 pagi.

Difahamkan pertemuan itu merupakan yang pertama sejak Ismail Sabri menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Pada Khamis, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas tamat perasmian sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Iskandar Puteri.

ARTIKEL ASAL DISIARKAN DI PORTAL SINAR HARIAN
.