Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bertegas untuk menamakan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, beliau dan lima ahli Parlimen lain berpegang dengan keputusan akhir mesyuarat tidak rasmi antara beliau sendiri, DAP, Amanah, dan Warisan pada 25 Jun lepas.

Kata beliau lagi, walaupun Majlis Presiden Pakatan Harapan telah menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri, ia tidak melibatkan beliau dan rakan-rakan dari Bersatu mahupun Warisan.

“Dalam perbincangan itu, Amanah dan DAP telah mencadangkan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Timbalan Perdana Menteri Pertama dan Kedua.

“Saya dan rakan-rakan dari Bersatu telah bersetuju dan menyokong cadangan tersebut. Ini kerana mahu menyelesaikan kebuntuan memilih calon yang sesuai dan mampu mendapatkan sokongan untuk mendapatkan kembali mandat rakyat dari Kerajaan sekarang,” katanya lagi.

Susulan daripada itu, Dr Mahathir berkata, mesyuarat pada 25 Jun 2020 itu telah meminta beliau membuat pengumuman mengenai keputusan memilih Shafie, dan telah dilakukan pada 27 Jun 2020.

Bagaimanapun, jelasnya lagi, setelah pengumuman dibuat, DAP dan Amanah bagaimanapun, apabila menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH pada 6 Julai 2020, telah tidak berpegang kepada keputusan menamakan Datuk Seri Shafie, sebaliknya menamakan Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

“Bagi pihak kami, mencalonkan Datuk Seri Shafie sebagai Perdana Menteri adalah satu langkah positif yang perlu diambil.

“Ia bukan sahaja kerana kita percaya dia akan berkeupayaan untuk mendapatkan sokongan majoriti tetapi juga satu langkah ke hadapan demi mempertingkat hubungan Semenanjung dan Sabah dan Sarawak,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, beliau bersama lima ahli Parlimen - Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Maszlee Malik (Simpang Renggam), Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), dan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (Sri Gading), membuat keputusan untuk kekal bersama Warisan sebagai blok bebas di dalam dan di luar Parlimen.

Ujarnya lagi, mereka tidak akan bergabung dalam mana-mana gabungan.

“Kami juga menentang sebarang usaha untuk menggantikan Speaker dan akan meneruskan usul undi tidak percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menubuh Kerajaan yang tidak dipilih rakyat.

“Kami masih utama perjuangan asal kami iaitu menolak kembalinya Kerajaan kleptokrasi,” katanya lagi.